Copenhagen: Kerajaan Denmark semalam menyiarkan iklan di empat akhbar Lubnan untuk tidak menggalakkan pelarian berlepas ke negara itu.

Iklan yang disiarkan dalam bahasa Arab dan Inggeris menyebut secara terperinci undang-undang baru berkait dengan pelarian dan menjelaskan alasan negara itu mungkin bukan pilihan baik untuk mereka, lapor akhbar The Washington Post.

Ia merujuk kepada undang-undang baru Denmark yang mengurangkan faedah sosial kepada pelarian yang baru tiba kepada 50 peratus.

Ia juga menyatakan, warga asing yang dibenarkan tinggal sementara di Denmark tidak boleh membawa keluarga masing-masing.

Langkah itu bertujuan menggambarkan pendirian tegas kerajaan berhaluan kanan Denmark berhubung undang-undang imigresen negara itu. Ia juga menunjukkan perbezaan mengenai cara negara Eropah menangani krisis pendatang.

Pendirian Denmark itu bertentangan dengan Jerman, Sweden, Greece dan United Kingdom yang bersedia menerima lebih ramai pelarian dari kawasan berkonflik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 6:57 AM