SUAMI mangsa yang tidak dapat menahan kesedihan. FOTO Muhammad Apendy Issahak
SUAMI mangsa yang tidak dapat menahan kesedihan. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh : Seorang daripada 14 mayat mangsa korban tragedi bot karam sudah dikenalpasti oleh ahli keluarga mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Winda Mandasari, 24, berasal dari Medan, Indonesia dan jenazah mangsa dikenalpasti oleh suaminya sendiri Amiruddin Tolam, 30, yang membuat pengecaman berdasarkan gambar mangsa yang ditunjukkan oleh polis.

Amiruddin yang ditemui kelihatan menangis sebaik selesai membuat pengecaman dan menurutnya, isterinya ingin pulang ke kampung halaman mereka menaiki bot untuk menemui tiga anak mereka serta menyambut Hari Raya Aidiladha.

"Mak Winda sudah tiada mak..Winda sudah meninggal dunia..sekarang jenazahnya ada di hospital Ipoh.

"Tidak tahu lagi bagaimana hendak dibawa pulang. Mak jagalah anak-anak kami," demikian antara perbualan telefon dengan ibunya memberitahu mengenai kejadian itu.

Amiruddin berkata, dia mendapat maklumat mengenai kejadian petang semalam oleh ejen yang membawa isterinya pulang, namun tidak percaya berita itu dan hari ini hadir ke Ipoh dari Kuala Lumpur untuk mengesahkannya.

Menurutnya, dia sudah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai tiga anak berusia tujuh hingga dua bulan.

Tragedi bot karam di perairan Sabak Bernam, Selangor dekat Hutan Melintang dekat sini, setakat ini mengorbankan 15 nyawa iaitu 13 perempuan dan dua lelaki, manakala 19 lagi terselamat serta lebih 30 mangsa masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 12:14 PM