JENAZAH kedua-dua jeneral yang terkorban diarak sebelum dikebumikan di Baghdad, semalam.
JENAZAH kedua-dua jeneral yang terkorban diarak sebelum dikebumikan di Baghdad, semalam.
AP

Baghdad: Dua pegawai kanan tentera Iraq berpangkat jeneral terbunuh dalam serangan pengebom berani mati militan Negara Islam (IS) di Anbar, wilayah di barat Iraq, semalam.

Tentera Iraq berkata, pengebom berkenaan meletupkan kenderaannya yang sarat dengan bahan letupan ketika memandu ke arah kumpulan tentera yang mara di Ramadi, ibu negeri Anbar, menyebabkan dua jeneral itu dan tiga anggota lain terbunuh.

Jurucakap tentera Iraq berkata, 10 askarnya yang lain cedera dalam kejadian itu.

Dalam kenyataannya menerusi televisyen, tentera Iraq berkata, dua pegawai berkenaan ialah Timbalan Ketua Operasi Anbar Mejar Jeneral Abdul-Rahman Abu-Regheef dan komander 10 Divisyen Tentera Darat Brigadier Jeneral Safeen Abdul-Maguid.

Tentera kerajaan dan militan Sunni serta Syiah bergabung memerangi IS di wilayah berkenaan sejak beberapa bulan lalu tetapi tidak banyak mencapai kejayaan.

IS masih menguasai sebahagian besar Anbar.

Jurucakap tentera Brigadier Jeneral Yahya al-Zobeidi berkata, kematian dua jeneral itu tidak akan menjejaskan operasi di wilayah berkenaan.

Serangan semalam berlaku ketika tentera kerajaan dan sekutunya berdepan serangan IS yang semakin meningkat di Beiji, bandar penapisan minyak di barat Baghdad.

Tentera kerajaan menawan bandar itu hujung tahun lalu tetapi IS berusaha menguasainya semula.

Perdana Menteri Haider al-Abadi berkata baru-baru ini, memenangi pertempuran di Beiji menjadi kunci kepada menewaskan IS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 8:07 AM