Ahmad Sarji (kiri) dan Hamad Kama Piah menunjukkan agihan pendapatan ASW 2020, semalam.
Ahmad Sarji (kiri) dan Hamad Kama Piah menunjukkan agihan pendapatan ASW 2020, semalam.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Bhd, anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan dividen 6.40 sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2015.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, agihan pendapatan itu menyusut 0.20 sen seunit berbanding 6.60 sen yang dicatatkan bagi tahun kewangan sebelumnya.

Beliau berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran RM1.14 bilion kepada 883,442 pemegang unit yang melanggan 17 bilion unit saham berkenaan.

“Kadar pengagihan pendapatan ASW 2020 adalah berpatutan terutama dalam suasana kejatuhan pasaran saham semasa dan jika dibandingkan dengan instrumen pelaburan lain.

“Prestasi ASW 2020 sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2015 banyak dipengaruhi pasaran saham domestik dan global yang mencabar sejak akhir-akhir ini,” katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan saham itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Menurutnya, berdasarkan persekitaran ekonomi semasa, pihaknya perlu mengimbangi keperluan pengekalan modal tabung dan keupayaannya menjana pengagihan pendapatan yang bersesuaian dengan keadaan terkini.

“Unit saham ini akan terus melaksanakan strategi bersesuaian bagi menghadapi keadaan ekonomi yang dijangka terus mencabar pada masa depan seperti membuat pelaburan teliti supaya matlamat tabungan dicapai,” katanya.

Pengiraan agihan berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASW 2020.

Sehingga 25 Ogos 2015, tabung itu memperoleh pendapatan kasar RM1.39 bilion dengan keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat menyumbang 51 peratus atau RM709.04 juta.

Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat mencatatkan RM477.06 juta bersamaan 34.3 peratus dan baki 14.7 peratus melalui pendapatan pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 6:41 AM