TENGKU Abdullah (tiga dari kiri) merasmikan simbolik majlis pecah tanah Stadium Hoki Tengku Abdullah di Bangi, semalam.
TENGKU Abdullah (tiga dari kiri) merasmikan simbolik majlis pecah tanah Stadium Hoki Tengku Abdullah di Bangi, semalam.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Bangi: Meskipun Terry Walsh sudah dilantik Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk pengendali dari Australia itu masih menjadi rahsia.

Sebaliknya, Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal berkata, segala-galanya akan diumumkan pada awal bulan depan ketika mengumumkan barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan yang baru.

“Tugasnya cukup menyeluruh. Kalau nak tahu lebih mendalam tunggu awal September.

“Pastinya salah satu KPI beliau adalah memastikan bukan saja pasukan kebangsaan perlu berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, tapi juga merungkai satu pelan tindakan pembangunan yang lengkap untuk MHC,” katanya.

Subahan berkata, tanggungjawab Walsh sememangnya cukup besar dengan segala perancangan MHC terletak sepenuhnya di tangan bekas pengendali pasukan kebangsaan India itu.

“Saya berharap pelan tindakan pembangunan hoki sama seperti pelan pembangunan bola sepak,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Tengku Abdullah Ahmad Shah menyempurnakan majlis pecah tanah Stadium Hoki Tengku Abdullah semalam.

Bekas setiausaha badan induk itu, Maninderjit Singh menerusi laporan Arena Metro semalam mempersoalkan apakah hala tuju sebenar MHC serta KPI yang diberikan kepada Walsh sebelum badan induk itu membuat keputusan melantik barisan jurulatih yang baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 9:48 AM