Madrid: Barcelona perlu menghasilkan kebangkitan menakjubkan awal pagi esok untuk menokok Piala Super Sepanyol dengan empat trofi yang sudah dimenangi mereka tahun ini apabila mereka ketinggalan 0-4 kepada Athletic Bilbao menjelang perlawanan kedua.

Barca dibelasah kelab Basque itu awal pagi kelmarin apabila mereka membalas dendam kekalahan pada final Piala Raja Sepanyol Mei lalu di Nou Camp menerusi gol hatrik Aritz Aduriz dan gol pembukaan mengagumkan oleh Mikel San Jose.

Ia kali pertama Barca kalah empat gol menentang kelab Sepanyol dalam tempoh lapan tahun dan kali pertama dalam tempoh 14 tahun mereka melepaskan empat gol dalam dua perlawanan berturut-turut.

Juara Eropah itu menundukkan Sevilla 5-4 selepas masa tambahan di ibu negara Georgia, Tbilisi untuk memenangi Piala Super Eropah tiga hari sebelum kunjungan ke Bilbao.

Namun pemain Barca cukup yakin dengan lebih banyak masa untuk bersedia dan hampir pada kekuatan sebenar di gelanggang sendiri, kebangkitan menakjubkan satu kemungkinan.

“Jika ada sesiapa yang boleh mengubah keadaaan ini, mereka adalah Barca,” kata jurulatih Luis Enrique yang dipersoalkan apabila merehatkan Gerard Pique, Sergio Busquets, Ivan Rakitic dan Andres Iniesta dalam kesebelasan utama.

“90 minit di Nou Camp. Saya yakin,” tulis Pique dalam laman Twitter semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 11:45 AM