TURUT menghiburkan tetamu.
TURUT menghiburkan tetamu.
PEMINAT yang hadir pada rumah terbuka Ayda.
PEMINAT yang hadir pada rumah terbuka Ayda.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Populariti Ayda Jebat, 23, tidak boleh disangkal. Kegilaan peminat terhadapnya boleh dilihat pada setiap acara dihadiri. Pendek kata ke mana saja pelakon ini pergi pasti diekori.

Sewaktu sambutan Majlis Rumah Terbuka Ayda Jebat Screamer (AJS) berlangsung Ahad lalu, dianggarkan lebih 1,000 tetamu hadir.

Memandangkan ia terbuka kepada orang ramai, Ayda terpaksa menggunakan khidmat polis bagi menjaga keselamatannya.

“Ayah yang mencadangkan idea ini. Mulanya saya mahu menggunakan khidmat ahli kelab peminat saja, tetapi ayah berpendapat lebih baik ada polis bagi mengelakkan perkara tidak diingini seperti kecurian.

“Ada enam petugas. Dua menjaga saya, dua lagi mengawal dalam rumah dan selebihnya di sekitar acara berlangsung,” katanya.

Menyedari dirinya sentiasa menjadi perhatian, bintang muda ini sering kali diingatkan supaya menjaya keselamatan diri. Malah ada pihak menyarankan dia mengambil pengawal peribadi.

“Tak terfikir sampai ke tahap itu. Buat masa ini saya masih rasa selamat bergerak ke mana saja. Jangankan pengawal peribadi, pembantu peribadi pun saya tak ada.

“Saya biasa ke lokasi penggambaran dan menghadiri sebarang acara sendirian. Jika diserbu peminat sekali pun, saya masih boleh kawal keadaan. Itu semua bukan masalah buat saya,” katanya yang kini dalam rangka promosi single Jadi Diriku.

Ayda turut menegaskan tidak pernah sekali pun dirinya rasa terancam sebaliknya saban hari lebih disayangi peminat.

Mengulas lanjut penganjuran rumah terbuka itu, Ayda bersyukur apabila ia berjalan seperti yang dirancang.

“Perancangan asal saya mahu buat di Ayer Keroh, Melaka. Apabila menyuarakan hasrat itu, ahli jawatan kuasa (AJK) memaklumkan mereka sudah meracang segalanya terlebih dulu. Kiranya ia satu kejutan buat saya.

“Segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya AJS dan ada beberapa pihak sudi menaja aiskrim, gerai foto dan khidmat jurugambar.

“Lebih buat saya terharu apabila ahli AJS bergotong-royong menyediakan beberapa menu seperti rendang ayam, nasi impit, kuah kacang dan mihun goreng,” katanya.

Acara yang berlangsung selama lima jam bermula 1 petang itu, Ayda dilihat ceria melayan peminat dan tetamu.

“Terbang rasa penat apabila dapat bertemu peminat. Saya bangga dan terharu apabila ada yang sanggup datang dari jauh.

“Selama ini ada yang hanya komen di Instagram, tetapi apabila dapat bersua muka, masing-masing seronok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 10:06 AM