NAJIB berbual mesra dengan peserta Pidato, Wyatt Gordon daripada Amerika Syarikat (tiga dari kanan) ketika meninggalkan majlis Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO Fariz Iswadi Ismail.
NAJIB berbual mesra dengan peserta Pidato, Wyatt Gordon daripada Amerika Syarikat (tiga dari kanan) ketika meninggalkan majlis Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggariskan lima cadangan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam era teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) ketika ini.

Beliau berkata, cadangan pertama meminta Kementerian Pendidikan Tinggi terus mengadakan perbincangan diplomatik untuk menubuhkan lebih banyak kursi pengajian bahasa Melayu di universiti tersohor di serata dunia.

Selain itu, katanya, mengadakan kerjasama dengan sekolah atau institusi pendidikan tinggi di luar negara, terutama dalam bidang penyelidikan, pendokumentasi maklumat dan penghantaran tenaga pengajar, yang berkaitan dengan bahasa serta persuratan Melayu.

"Ketiga memperkenal dan mempromosi bahasa Melayu melalui pembabitan negara ini dalam pergerakan dan persidangan antarabangsa.

"Keempat menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi; Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta syarikat penerbitan di negara ini, bekerjasama dalam membekalkan bahan bacaan dan rujukan, khususnya mengenai tamadun Melayu serta negara Malaysia ke masyarakat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pertandingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2015 Piala Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan isteri Toh Puan Seri Che Kamariah Zakaria; dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kian Ching.

Sembilan pemidato antarabangsa dan tempatan bersaing untuk merebut Piala Perdana Menteri berkenaan menerusi tiga kategori iaitu antarabangsa, Alam Melayu dan Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM)

Najib berkata, usaha tambahan termasuk mengeksport penerbitan filem televisyen tempatan yang menonjolkan bahasa Melayu dan budaya Malaysia kepada negara luar.

Katanya, langkah kelima adalah membangunkan bahasa Melayu di alam siber seperti membina portal dan penerbitan elektronik, khususnya mengenai kebudayaan Melayu serta Malaysia.

Menurutnya, ia bagi membolehkan masyarakat antarabangsa mempunyai akses yang luas kepada sumber maklumat yang tepat lagi terkini mengenai pelbagai aspek tamadun Melayu.

Beliau berkata, kelahiran ICT membawa perubahan amat pantas dalam mencorakkan pola perniagaan sehinggakan mencetuskan iklim ekonomi baru dunia, yang berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi.

"Signifikannya, bahasa Melayu perlu cukup utuh dan mantap serta harus berupaya mengemudikan masyarakat penuturnya untuk bergerak seiring dengan arus pembangunan K-ekonomi ini.

"Seandainya kita gagal, bahasa Melayu akan terkebelakang dan boleh jadi dianggap tidak lagi relevan," katanya.

Beliau turut menyarankan supaya kementerian menubuhkan Alumni PABM memandangkan sepanjang sembilan tahun penganjurannya sudah ramai peserta yang mengambil bahagian.

Katanya, menerusi penubuhan alumni ini, mereka boleh berperanan sebagai duta kecil dalam memperkasa bahasa Melayu di negara masing-masing.

Selain itu, katanya, usaha tambahan patut dilakukan terhadap pemenang pertandingan dengan memberikan biasiswa bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah.

"Misalnya, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang sudah menawarjan 10 biasiswa kepada peserta PABM tahun lalu untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

"Semoga tawaran ini akan diteruskan lagi pada tahun ini dan juga tahun mendatang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 11:15 PM