Kuala Lumpur: Kerajaan mengumumkan tidak akan ada kenaikan tarif elektrik sehingga Jun 2015.

Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili, berkata keputusan itu bagi mengurangkan impak rasionalisasi subsidi kerajaan serta ketidaktentuan harga bahan api di peringkat global.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan menampung kos bahan api dan penjanaan berjumlah RM1.683 bilion melalui pelaksanaan beberapa mekanisme penjimatan.

“Kos ditampung menggunakan hasil penjimatan daripada rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA), Penjanaan Tenaga Bebas (IPP) Generasi Pertama dan mengekalkan harga gas berpaip yang dibekalkan oleh Petronas kepada sektor elektrik,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Ongkili berkata, kadar tarif elektrik di Semenanjung Malaysia ditetapkan melalui sistem Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) melibatkan pelaksanaan mekanisme ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) yang diperkenal Januari lalu.

Mekanisme itu membolehkan kerajaan menyemak kadar tarif elektrik setiap enam bulan berdasarkan perubahan dalam harga tenaga dan penjanaan, katanya.

“Mekanisme ICPT mengambil kira perubahan harga gas berpaip, gas asli cecair, arang batu, ‘medium fuel oil’, ‘distillate’ dan kos penjanaan lain seperti kos berkaitan PPA, ‘displaced cost’ daripada Tenaga Boleh Diperbaharui dan kos pembelian tenaga elektrik daripada negara luar,” jelasnya.

Oleh itu, Anggota Parlimen Kota Marudu itu menggesa rakyat supaya menggunakan tenaga elektrik secara berhemah serta mengurangkan pembaziran.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pihak utiliti supaya sentiasa berusaha untuk menyediakan bekalan elektrik yang efisien, mencukupi, berdaya harap dan kos efektif demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 9:29 PM