Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Kuantan: Polis Pahang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini dengan tertangkapnya suspek berusia 34 tahun bersama-sama 15,550 pil kuda bernilai RM466,500, kelmarin

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang menahan lelaki itu di hadapan sebuah restoran di Jalan Air Putih di sini, pada jam 9.30 malam.

"Ia membawa penemuan satu beg plastik berisi 12,000 pil itu yang diletakkkan di tempat alas kaki bahagian tempat duduk pemandu Perodua Viva yang dinaiki suspek.

"Suspek kemudian membawa ke rumah sewanya di Taman Kota Sultan Ahmad Shah (SAS) dan polis merampas 3,550 pil kuda dan 152 gram syabu serta wang tunai RM3,075.

"Ini adalah rampasan pil kuda terbesar di negeri ini dan suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan selama seminggu mulai semalam," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 12:58 PM