BENTEKE tandatangani kontrak lima tahun bersama Liverpool.
BENTEKE tandatangani kontrak lima tahun bersama Liverpool.
Agensi

London: Penyerang baru Liverpool, Christian Benteke menyatakan keazamannya untuk menang trofi selepas melengkapkan perpindahan bernilai £32.5 juta (RM192.7 juta) dari Aston Villa.

Pemain kebangsaan Belgium itu muncul pemain kedua termahal kelab itu selepas Andy Carroll yang dibeli dengan harga £35 juta (RM207.5 juta). Perjanjian itu menyaksikan Reds membayar £16 juta (RM94.8 juta) terlebih dulu dengan bakinya dibayar sepanjang kontrak lima tahun itu, yang dilengkapkan awal pagi semalam.

Dia tidak akan bertemu hampir semua rakan sepasukan barunya hingga mereka kembali selepas perlawanan persahabatan menentang Pilihan Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Pemain berusia 24 tahun itu bagaimanapun sudah mengenali beberapa pemain termasuk penjaga gol Simon Mignolet dan Divock Origi daripada skuad kebangsaan dan percaya pembelian pemain pada musim panas ini memberikan Reds peluang memburu trofi kejuaraan.

“Saya fikir ada ramai pemain berkualiti dan bagus dengan nama besar di sini,” kata Benteke yang muncul pembelian ketujuh kelab itu pada musim panas ini dengan jumlah perbelanjaan melebihi £80 juta (RM474 juta).

“Saya gembira menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan akan cuba membantu pasukan mencapai sasaran.

“Saya mahu jadi yang terbaik dan memuncak ke tahap terbaik.

“Saya hadir di sini untuk menang trofi. Saya ingin mencapai sasaran hebat bersama pasukan.”

Benteke menjadi sasaran utama pengurus Brendan Rodgers pada musim panas ini dan berharap bintang Belgium itu mampu mencetak banyak gol dengan penampilan kerap berikutan kekecewaan Daniel Sturridge musim lalu yang tidak beraksi hampir enam bulan kerana kecederaan.

“Ia kelab tepat buat saya kerana selepas berbincang dengan pengurus, saya mahu menjadi sebahagian daripada perancangannya.

“Liverpool satu cerita besar. Mereka menang kejuaraan liga dan Liga Juara-Juara lima kali serta Piala UEFA dan trofi lain. Ia sebuah kelab besar.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 12:23 PM