Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bukan perlawanan sarkas atau untuk hiburan, itu yang diluahkan pemain baru Liverpool, Jordon Ibe (gambar) menyangkal segelintir pendapat peminat tempatan sebelum ini mengenai aksi pramusim kelab Liga Perdana Inggeris itu menentang Pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Ibe, 19, berkata, setiap aksi pramusim tidak kira bertemu pasukan mana sekali pun amat penting buat mereka dan juga kelab sebelum memulakan musim baru EPL.

“Saya berpendapat ia sangat penting kerana di sini kami boleh memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya yang sebelum ini beraksi bersama Wycombe Wanderers dari 2011 hingga 2012.

Jelasnya, pramusim sebahagian daripada jadual pasukan dan apa saja perancangan kelab mereka perlu menghadapinya.

“Bagaimanapun, ia bagus untuk kami sebagai persiapan sebelum memulakan musim baru,” katanya selepas sesi latihan rasmi dan perlawanan latihan bertemu FELDA United.

Sebelum ini, segelintir peminat tempatan menyifatkan perlawanan persahabatan menentang kelab luar lebih menjurus kepada aksi sarkas dan tidak menguntungkan pemain kebangsaan.

Ditanya mengenai sambutan peminat Reds di Malaysia, Ibe mengakui dia begitu teruja dengan sambutan diberikan termasuk beberapa aktiviti yang dijalankan sebaik tiba di sini Selasa lalu.

“Pastinya saya dapat lihat di sekitar stadium suasana cukup hebat. Saya tidak sabar untuk beraksi dan ini peluang untuk menghargai sokongan mereka dan juga meningkatkan lagi kemampuan pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 11:23 AM