Keadaan kereta terbabit dalam kemalangan di LPT2 manakala gambar kecil, Zul Azlan meriba seorang anaknya yang cedera sementara menunggu bantuan tiba. - Foto Rosli Ilham
Keadaan kereta terbabit dalam kemalangan di LPT2 manakala gambar kecil, Zul Azlan meriba seorang anaknya yang cedera sementara menunggu bantuan tiba. - Foto Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham


Dungun: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan maut manakala ibunya cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 357.6 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Bukit Besi, 2.30 petang tadi.

Dalam kejadian itu, Adam Rizqi Zul Azlan dari Taman Medan Jaya Petaling Jaya, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibunya, Siti Hajar Md Aziz, 28, pula yang cedera parah di kepala dan muka, dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Suaminya, Zul Azlan Yaakub, 30, dan seorang lagi anak mereka, Nurhadamia, 2, turut cedera dan dirawat di Hospital Dungun.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Alza mereka naiki dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu, dipercayai terbabas dan terbalik beberapa kali sebelum merempuh pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:57 PM