BMW 120i M Sport.
BMW 120i M Sport.
BMW 220i Gran Tourer.
BMW 220i Gran Tourer.
Oleh Erywan Norshal


Kenderaan segmen kompak boleh dianggap popular ketika ini apabila ada pengeluar automotif global mengembangkan rangkaian kereta masing-masing dalam kategori berkenaan.

Ia jelas dilihat apabila pengeluar automotif premium daripada Jerman juga ‘berjinak-jinak’ memperkenalkan model kompak buat pasaran tempatan.

Namun kali ini, BMW Group Malaysia melancarkan dua model kompak baru serentak iaitu BMW 1 Series dan BMW 2 Series Gran Tourer yang melalui pemasangan tempatan.

BMW 1 Series juga diperkenalkan dalam varian BMW 120i M Sport apabila tampil sporty menerusi pakej yang merangkumi Kit Aerodinamik M, stereng M dibalut kulit, suspensi M Sport dan rim aloi M Sport bersaiz 18 inci sebagai ciri standard.

Model segmen kompak premium itu tampak dinamik bersama elemen jeriji rekaan ‘ginjal’ lebih lebar, lampu utama diberi nafas baru dan lampu nyalaan siang LED.

Jentera itu juga dipasang dengan rangkaian peralatan standard yang lebih komprehensif termasuklah Sistem Navigasi Profesional BMW bersama Kawalan Sesentuh dan kluster instrumen baru sebagai ciri standard.

Nadi BMW 120i M Sport menggunakan enjin dengan teknologi BMW TwinPower Turbo yang berupaya menawarkan maklum balas serta-merta. Dijana enjin petrol empat silinder bersesaran 1.6 liter, ia mampu menyalurkan kuasa maksimum 177hp dan tork 250Nm.

Dengan daya memecut hingga kelajuan maksimum 222 kilometer sejam (km/j), penggunaan bahan api secara puratanya cuma 5.9 liter bagi setiap 100 km.

Sementara itu, BMW 2 Series Gran Tourer adalah model kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak premium yang mampu memuatkan sehingga tujuh penumpang. Selain hadir dengan rekaan BMW yang dinamik, prestasinya sungguh mengagumkan serta memberi penjimatan bahan api tiada tandingan.

Sebagai kenderaan berkapasiti tujuh tempat duduk, jentera itu menawarkan kemudahan unik dan memiliki lebih banyak ruang. Hasilnya, ia kenderaan ideal untuk keluarga muda yang mempunyai anak, dan lebih menarik apabila tempat duduk baris kedua boleh dipasang dengan tiga kerusi kanak-kanak.

Keluasan kenderaan itu hadir dalam bentuk ruang besar berkapasiti 645 hingga 805 liter. Ia boleh mencapai ruang maksimum seluas 1,905 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat sepenuhnya.

Di bawah bonet hadapannya, ia menempatkan enjin aluminium yang direka untuk mempunyai tahap geseran sangat rendah.

Enjin bersesaran 1,998 cc itu ditambah dengan teknologi BMW TwinPower Turbo serta padanan kotak gear transmisi lapan kelajuan automatik. Gabungan itu membolehkan enjin menjana kuasa sehingga 192 hp dan tork setinggi 280 Nm, selain mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat.

Harga bagi BMW 120i M Sport dinyatakan pada RM 219,800 manakala RM279,800 bagi BMW 220i Gran Tourer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:02 AM