ANTARA mercun yang dirampas daripada peniaga di Pasar Pagi Kuala Berang. FOTO Nazdy Harun
ANTARA mercun yang dirampas daripada peniaga di Pasar Pagi Kuala Berang. FOTO Nazdy Harun
Oleh Nazdy Harun


Kuala Berang: Polis menahan lelaki berusia 24 tahun serta merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM30,000 di tapak pasar pagi Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, serbuan dilakukan pada 10 pagi hasil maklumat awam yang diterima pihaknya berhubung penjualan mercun secara terbuka di kawasan itu.

"Ketika ditahan, suspek cuba berdolak dalih memaklumkan bahan letupan itu bukan miliknya sebaliknya milik seorang 'tauke' yang mengupahnya menjual barangan berkenaan.

"Namun, cubaan suspek memperdayakan anggota gagal sebelum dia ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Kesemua mercun dan bunga api yang dirampas dianggarkan bernilai RM30,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 5:12 PM