Basyar Mustapha pasti ramai generasi muda yang rindukan Ramadan ketika zaman kanak-kanak dulu.

Bukan saja generasi bapa atau datuk kita, belia generasi Y juga merasakan kelainannya. Cepat betul masa berubah, begitu juga perjalanan Ramadan kita terutama anak muda yang sudah bekerja.

Sekadar bahan ringan untuk mengimbau kenangan pada bulan Ramadan, Gen Y kongsikan beberapa perbezaan Ramadan dulu dan sekarang.

- Dulu mak dan ayah bayarkan juadah yang kita mahukan, sekarang apabila sudah bekerja, kita bayar untuk diri sendiri.

- Dulu masa kecil pergi solat Tarawih sebab nak jumpa ramai kawan di surau atau masjid. Sekarang pergi Tarawih sebab hendak kejar pahala.

- Masa kecil boleh buat muka comel jika ponteng puasa jadi tidak dimarahi sangat. Apabila sudah dewasa, comel ataupun tidak tetap kena puasa.

- Dulu agak pening fikir untuk sediakan juadah berbuka terutama emak kita, sekarang kita tidak pening pun kerana beli saja di bazar Ramadan.

- Jika dulu jika bersedekah di dalam kawasan sekitar saja, sekarang kita boleh bersedekah ke Palestin, Kemboja dan ke tempat lain melalui Internet.

- Dulu hanya termenung tengok makanan terhidang sebelum waktu berbuka. Sekarang sibuk mengambil gambar dan muat naik di laman sosial.

- Dulu ada jadual waktu imsak dan berbuka ditampal pada dinding rumah. Sekarang hanya cari di Internet, telefon atau aplikasi khas setiap kali nak berbuka puasa.

- Dulu masa kecil bulan puasa pun sudah sibuk main bunga api dan mercun. Sekarang apabila dengar bunyi mercun jadi terkejut dan rasa marah.

- Sewaktu kecil selepas Tarawih ada agenda bersama kawan antaranya bermain. Sekarang selepas Tarawih sudah kepenatan mahu masuk tidur kerana esok awal pagi perlu pergi bekerja.

- Dulu hendak berbuka dengan pelbagai makanan dan minta macam-macam juadah berbuka daripada ayah dan ibu. Sekarang hanya berbuka sederhana mungkin kerana amalkan diet untuk badan dan poket. Maklumlah pelbagai keperluan hendak dibayar dan baju raya pun sudah kena beli sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 9:38 AM