SURAYA merasmikan Seminar Kebangsaan Pertanian Organik 2015 (SKOR 2015) di Alor Setar, Kedah,  baru-baru ini.
SURAYA merasmikan Seminar Kebangsaan Pertanian Organik 2015 (SKOR 2015) di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.
SURAYA diberi taklimat mengenai sayur organik oleh pengusaha sayur organik, Lui Teik Hock ketika melawat gerai pameran.
SURAYA diberi taklimat mengenai sayur organik oleh pengusaha sayur organik, Lui Teik Hock ketika melawat gerai pameran.
Oleh Mohamad Hussin


Seminar Kebangsaan Pertanian Organik (SKOR) 2015 yang diadakan di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini berjaya menarik lebih 200 peserta terdiri daripada penyelidik, pensyarah, pengusaha, peladang dan petani yang berminat menceburi pertanian organik.

Sektor pertanian organik antara bidang pertanian yang pesat berkembang di peringkat antarabangsa.

Pada masa ini, pertanian organik dilaksanakan di lebih 164 negara di dunia dan meliputi lebih 37 juta hektar kawasan pertanian.

Di Asia saja, keluasan tanah untuk pertanian organik melebihi 3.2 juta hektar.

Walaupun keluasan tanaman ini hanyalah sembilan peratus daripada keluasan tanaman pertanian dunia, namun ia mempunyai potensi pasaran yang amat besar.

Anggaran nilai pasaran untuk produk organik dunia berjumlah AS$64 bilion (RM230 bilion) dan dijangka berkembang dari setahun ke setahun.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Sharif Haron dalam ucapannya berkata, perkembangan pertanian organik di negara ini sedikit perlahan berbanding negara Asia yang lain.

Beliau berkata, pada masa ini, keluasan tanaman organik baru mencecah 1,833.78 hektar dengan jumlah ladang organik yang sudah diberi pensijilan Sijil Organik Malaysia (SOM) sebanyak 142 ladang.

“Potensi pertanian organik di negara ini tetap besar. Perubahan gaya hidup dan kesedaran berkenaan kepentingan kesihatan sudah mengubah pandangan masyarakat terhadap pertanian organik dan produk organik.

“Produk organik kini menjadi semakin popular dan pada sesetengah individu, ia antara keperluan khusus. Perkembangan ini memberi petanda positif dalam pengeluaran dan pemasaran pertanian organik di negara ini.

“Justeru, masalah kekurangan bekalan produk organik dan pemasaran antara masalah utama industri organik di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian SKOR 2015.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Kedah, Datuk Suraya Yaacob yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sharif berkata, menyedari hakikat ini, MARDI bersama-sama Jabatan Pertanian dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif menganjurkan seminar bertemakan ‘Komuniti Pemacu Transformasi Pertanian Organik’.

“Tema ini dibawa kerana kami yakin setiap program pembangunan yang berkesan semestinya membabit­kan komuniti atau masyarakat.

“Pembabitan komuniti dalam sesuatu program pembangunan mempunyai nilai strategik untuk menentukan kesesuaian.

“Berdasarkan andaian itu, kami merasakan tema ini amat tepat untuk memacu pertanian organik lebih maju ke hadapan,” katanya.

Menurutnya, seminar itu juga bertujuan bertukar idea dan pandangan berkenaan kaedah untuk memacu pertanian organik ke suatu tahap yang mampu berdaya saing.

“Seminar dua hari itu mengemukakan 13 kertas pembentangan dalam lima sesi termasuk satu sesi forum perbincangan.

“Melalui pembentangan pelbagai tajuk dan maklumat semasa berkenaan pertanian organik, adalah menjadi hasrat seminar ini untuk memberi pendedahan berkenaan strategi, pendekatan, teknologi dan isu utama dalam memupuk minat pelbagai pihak menceburi sektor pertanian organik.

“Seminar ini berjaya menarik perhatian 200 peserta terdiri daripada penyelidik, pensyarah, pengusaha dan peladang atau petani yang berminat untuk menceburi pertanian organik,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan yang ramai ini antara satu tanda bahawa pertanian organik ada penggiat dan peminat tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 10:39 AM