RONDON (kanan) muncul wira Venezuela.
RONDON (kanan) muncul wira Venezuela.

Rancagua, Chile: Penyerang Zenit St Petersburg, Salomon Rondon menyumbat gol kemenangan apabila Venezuela mengejutkan pasukan serba bintang Colombia 1-0 pada Copa America, semalam.

Colombia, yang dibarisi pemain bintang berpangkalan di Eropah termasuk pemain Real Madrid, James Rodriguez dan Radamel Falcao dari Manchester United, dianggap sebagai pasukan yang mampu meraih kejuaraan.

Namun, pasukan yang layak ke suku akhir Piala Dunia 2014 itu gagal bertindak balas selepas Rondon menanduk masuk gol kemenangan Venezuela pada pertengahan babak kedua.

Gol itu melengkapkan saingan sengit di Stadium El Teniente yang mana Colombia gagal mempamerkan keberkesanan serangan seperti pada kempen Piala Dunia di Brazil.

“Kami sedar mereka pasti memberikan saingan sengit,” kata penjaga gol Colombia, David Ospina.

“Venezuela berjaya menutup ruang dengan baik. Kami tidak mendapat ruang bagi mempamerkan kemahiran individu. Akhirnya kami kalah perlawanan ini, tapi masih ada dua perlawanan untuk mengubah nasib kami.

“Kini kami perlu bangkit dan mula memikirkan mengenai Brazil,” ujar Ospina, mengenai Brazil yang akan ditemui awal pagi Khamis ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 12:30 PM