WUJUD percanggahan kajian mengenai kaitan tekanan di tempat kerja dengan masalah obesiti walaupun majoriti mengakui cenderung mengambil makanan segera apabila tertekan di pejabat.
WUJUD percanggahan kajian mengenai kaitan tekanan di tempat kerja dengan masalah obesiti walaupun majoriti mengakui cenderung mengambil makanan segera apabila tertekan di pejabat.
Susunan Nor Faizah Mohamed


Tekanan berterusan di tempat kerja tidak semestinya membuatkan seseorang itu mengalami penambahan berat badan. Itu analisis terkini yang diperoleh pusat kajian obesiti di seluruh dunia.

Disebabkan ramai pekerja pejabat cenderung menikmati makanan segera seperti piza dan banyak mengambil minuman ringan serta alkohol terutama selepas menempuh hari yang panjang, penyelidik kembali menganalisis kajian sebelum ini membabitkan obesiti serta tekanan kerja hingga menyebabkan meningkatkan risiko penambahan berat badan.

Namun, tidak semuanya didapati menjadi punca kepada masalah itu selain tiada tanda yang menunjukkan pengurangan tekanan di tempat kerja boleh membantu pekerja terbabit susut berat badan.

“Jelas sekali sesetengah individu mengalami penambahan berat badan ketika mengalami tekanan, begitu juga yang hilang berat badan apabila berada dalam keadaan itu.

“Tetapi kebanyakan kita hanya mengalami kesan perubahan sederhana daripada tekanan kerja itu,” ujar pe­nyelidik kesihatan awam di Kolej Universiti London, Profesor Mika Kivimaki, baru-baru ini.

Menurut rekod Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), secara globalnya 1.9 bilion golongan dewasa mengalami masalah berat badan atau obes. Obesiti menyebab­kan meningkatnya risiko penyakit jantung, diabetes, masalah saraf malah sesetengahnya kanser.

Meskipun tiada statistik tepat membabitkan tekanan di tempat kerja sebagai punca obesiti, kebanyakan pekerja percaya skop tugasan era ini lebih membuatkan mereka tertekan berbanding generasi dulu.

Berdasarkan laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, 40 peratus pekerja didapati mengalami tekanan esktrem di tempat kerja.

Tekanan menetapkan penggera dalam otak yang seterusnya mencetuskan sistem saraf melepaskan hormon bagi membuatkan deria lebih sensitif, otot menegang, mempercepatkan denyutan nadi dan memperdalamkan pernafasan.

Lazimnya dikenali sebagai tindak balas penerbangan, tindak balas biologi ini membantu kita mempertahankan diri apabila berdepan situasi sukar, sama ada masalah itu dilihat timbul di tempat kerja atau berpunca daripada perkara lain.

Keadaan tertekan sementara ini mungkin tidak berbahaya, tetapi pendedahan rutin kepada tekanan itu boleh membawa kepada masalah sistem imun, penyakit jantung, komplikasi sistem saraf dan gangguan kesihatan mental.

Untuk memahami bagaimana perubahan dalam tekanan di tempat kerja mungkin memberi kesan kepada risiko pekerja mengalami masalah berat badan atau gemuk, Kivimaki dan pasukannya melakukan lapan analisis baru daripada lima kertas kajian yang diterbitkan sebelum ini.

Apabila data dikumpul untuk melihat sama ada wujudnya hubung kait antara obesiti dan tekanan kerja, mereka dapati tiada hubu­ngan berdasarkan data itu yang diambil daripada lebih 40,000 peserta dalam kajian sebelum ini.

Bagaimanapun, pasukan Kivimaki mendapati wujudnya peningkatan risiko obesiti dalam kalangan 35,000 peserta yang sebelum ini bekerja dalam suasana tenang, tetapi bertukar menjadi tekanan disebabkan pertambahan atau perubahan tugasan.

Dalam Jurnal Obesiti Antarabangsa terbitan 4 Jun lalu, penyelidik mengakui tiada satu pun kajian dalam analisis itu menunjukkan bahawa tekanan yang lebih besar di tempat kerja membawa kepada risiko obesiti yang lebih tinggi lalu me­nyukarkan pasukan terbabit membuat perbezaan antara individu yang bekerja dalam keadaan tekanan berterusan berbanding mereka yang hanya mengalami tekanan ringan.

Tambah Kivimaki, walaupun diakui mengurangkan tekanan di tempat kerja dapat memberi banyak manfaat kesihatan mental seseorang, kajian terbabit menunjukkan bahawa kurangnya tekanan di pejabat tidak banyak membantu menangani epidemik obesiti itu.

“Bagaimanapun, apabila kita bebas atau kurang mengalami tekanan, kita akan lebih mudah menjalani gaya hidup lebih sihat lalu mengurangkan masalah penambahan berat badan itu.

“Untuk mengekalkan berat badan yang sihat, senaman berterusan dan diet seimbang adalah perkara yang perlu dititikberatkan terutama ketika berdepan tekanan,” katanya.

Jelas Dr Pouran Faghri, penyelidik bidang kejuruteraan bio-perubatan dan kesihatan masyarakat di Universiti Connecticut, Amerika Syarikat, disebabkan analisis ini tidak konsisten dalam menentukan tekanan kerja atau mengenal pasti magnitud tekanan dalam kalangan pekerja berpengalaman, penemuan terbabit belum menemui kaitan kukuh antara tekanan dan obesiti.

Sungguhpun tekanan tidak secara langsung menyebabkan seseorang itu menjadi obes atau mengalami penambahan berat badan, tekanan ekstrem boleh membawa kepada masalah kesihatan lain.

“Individu yang mempunyai tahap kesihatan psikologi rendah dan mengalami tekanan tinggi cenderung terbabit dalam tingkah laku tidak sihat termasuk amalan pemakanan yang tidak seimbang.

“Mereka yang mengalami tekanan melampau juga biasanya tidak aktif dan tidak berminat dengan aktiviti sosial yang menyihatkan.

“Jadi penemuan terkini daripada kajian itu sebenarnya masih belum kukuh dan mungkin mengelirukan,” katanya. - Reuters.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 12:43 PM