AP

Zurich: Masa depan Piala Dunia bernilai AS$5 bilion (RM18 bilion) menjadi pertaruhan ketika undian pemilihan presiden FIFA, esok.

Sepp Blatter yang memegang tampuk pimpinan sejak 1998 dan berbangga dengan kejayaan kejohanan terulung bola sepak itu, berjanji untuk kekal dengan 32 pasukan.

Namun pencabarnya Putera Ali Al-Hussein yang berdepan tugas getir mengalahkan Blatter, cuba memancing undi 209 ahli FIFA dengan merancang menambah jumlah penyertaan Piala Dunia kepada 36 pasukan jika dipilih.

Naib Presiden FIFA, Jeffrey Webb melaungkan amaran kelmarin supaya tidak mengambil risiko menjejaskan Piala Dunia hanya kerana memancing undi.

“Piala Dunia adalah permata bola sepak dan bagi saya anda tidak boleh menambah jumlah penyertaan pada Piala Dunia kerana alasan politik,” kata Webb. “Anda boleh meningkatkan jumlah pasukan pada Piala Dunia kerana pembangunan sukan itu. Adakah anda mahu menjejaskan Piala Dunia bagi memuaskan hati beberapa persatuan?”

Webb yang juga Presiden CONCACAF, bercakap selepas Blatter dan Putera Ali mengadakan mesyuarat rahsia dengan konfederasi pimpinannya di sebuah hotel Zurich.

CONCACAF kini terjamin tiga tempat dan boleh meraih satu lagi tempat menerusi play-off, seperti dilakukan Mexico ketika menundukkan New Zealand untuk layak ke Piala Dunia 2014.

“Tiga puluh dua pasukan adalah hebat,” jelas Webb. “Jika anda melihat standard, rating televisyen, ia mengagumkan. Setiap satu perlawanan.”

Jika Putera Ali menamatkan tempoh 17 tahun Blatter sebagai presiden, CONCACAF dijanjikan satu lagi tempat. Namun Blatter dijangka pilihan utama untuk menang bagi penggal kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:36 AM