Oleh Siti Fatimah Hassan


Kuala Lumpur: Prosiding pertama siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang bermula hari ini, tertumpu kepada kawalan kerajaan terhadap pengurusan dan pelaburan syarikat itu.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, prosiding kira-kira tiga jam itu dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF), Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah.

Katanya, ia turut dihadiri lapan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan lima Ahli Parlimen pembangkang selain wakil tetap kementerian dalam PAC iaitu MoF,EPU, Jabatan Audit Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Akauntan Negara.

"PAC mahu melihat pengurusan kawalan tadbir urus syarikat 1MDB sejak ia ditubuhkan pada 2009 selepas ditukar fungsi daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA).

"Memandangkan spekulasi, tohmahan dan tuduhan perlu disahihkan oleh jawatankuasa ini, skop prosiding ini tidak terbatas dan dilakukan tanpa mendapat input daripada Jabatan Audit Negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 3:48 PM