Apakah fungsi butang SAT berhampiran gear pada kereta Proton Saga FLX saya? Saya juga menghadapi masalah tempoh masa servis kereta. Ini kerana kereta saya jarang dipandu dan kurang jarak perbatuan. Mana lebih baik, sama ada melihat tarikh yang dicadangkan mekanik atau menunggu jarak perbatuan untuk melakukan servis.

Adakah saya perlu mengikut tarikh ditetapkan, sebagai contoh servis seterusnya adalah 10,000 km, tetapi kereta saya baru 5,000 km sedangkan tempoh itu sudah hampir?

RINI, Petaling Jaya

Transmisi CVT yang digunakan dalam Saga FLX adalah buatan ‘Punch Powertrain’ dari Belgium. Jenama itu turut membekalkan kekotak gear bagi pelbagai jenama terkemuka kenderaan lain seperti Mini, Hyundai dan Volvo.

Berbeza dengan transmisi automatik konvensional, CVT tidak mempunyai sistem gear. Pada asasnya, ia berfungsi dengan satu tali sawat yang bergerak sepasang kon mengikut kelajuan.

Ia bermakna nisbah penghantaran kuasa enjin ke roda adalah infiniti, tidak seperti transmisi automatik biasa yang mempunyai nisbah tertentu serta tiga atau empat kumpulan gear tertentu.

Transmisi CVT lebih cekap dan menyumbang kepada penjimatan bahan api, selain lebih lancar serta tidak terasa perubahan nisbah gear.

Namun, segelintir pemandu gemar ‘merasa’ peralihan gear, oleh itu kegunaan butang SAT (Stepped Auto Transmission) adalah sistem yang meniru rasa pertukaran gear seperti transmisi automatik biasa.

Perasaan itu cuma tiruan dan bukan peralihan gear sebenar serta pemanduan CVT akan memberi pemanduan lebih lancar.

Sementara itu, kereta baru disaran mengikut syarat servis yang ditentukan pengeluarnya bagi menjamin kualiti dan tempoh jaminannya dengan menepati tarikh atau rekod kilometer.

Walaupun kereta tidak kerap dipandu, minyak pelincir mineral akan beroksida mengikut masa dan tidak rugi jika menukarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 11:14 AM