R.E.M yang dianggotai Michael Stipe (penyanyi), Peter Buck (gitar), Mike Mills (bass) dan Bill Berry (dram) antara band alternatif rock terawal. Ketika muzik berkenaan meledak pada awal 1990-an, R.E.M tampil dengan dua album yang akan terus diingati peminat mereka iaitu Out Of Time pada 1991 dan Automatic For The People (1992).

Sejak melahirkan album sulung Murmur pada 1983 dan album terakhir yang juga album ke-15 Collapse Into Now, semua album mereka terjual lebih 85 juta unit di seluruh dunia.

Pada 2007, R.E.M disenaraikan dalam Rock and Roll Hall Of Fame dan pada September 2011, kumpulan ini akhirnya berpecah.

Apa yang pasti, album unplugged live ini mampu mengubat rindu peminat terhadap band asal Georgia, Amerika Syarikat ini.

Album mengandungi dua CD ini dirakamkan pada Chelsea Studio, New York pada 10 April 1991 dan MTV Studio, juga di New York pada 21 Mei 2001.

Persembahan itu dirakamkan untuk tayangan di program MTV Unplugged dan daripada 33 lagu dalam album ini, 11 daripadanya tidak pernah ditayang atau dimainkan stesen radio.

Video konsert ini hanya ditayangkan di REMTV setahun selepas ia dirakam.

Walaupun kedua-dua rakaman ini membabitkan jarak masa kira-kira 10 tahun, tetapi R.E.M tetap unggul sebagai band yang mampu memberi persembahan live yang hebat.

Persembahan akustik dan vokal Stipe tetap mempesona walaupun ada yang mendakwa album ini tidak boleh menandingi kehebatan album unplugged Nirvana pada 1992.

Apa yang pasti, album ini khas untuk peminat tegar R.E.M dan sebagai penghargaan buat mereka yang menyokong band ini sejak tahun 1980-an lagi.

INFO

ARTIS: R.E.M

ALBUM: Unplugged 1991 & 2001 The Complete Sessions

TERBITAN/EDARAN: Rhino/Warner

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 12:03 PM