SAFIQ (dua dari kanan) sempurna sepakan penalti.
SAFIQ (dua dari kanan) sempurna sepakan penalti.
FIGUEROA (kanan) ledak gol pembukaan perlawanan.
FIGUEROA (kanan) ledak gol pembukaan perlawanan.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) merampas kedudukan tangga teratas selepas membenam Kitchee FC 2-0 pada saingan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Larkin, malam tadi.

Bukan setakat membalas dendam, skuad kendalian Bojan Hodak itu turut mengesahkan tempat dalam kelompok 16 pasukan terbaik apabila memadam rekod tanpa kalah kelab Hong Kong itu.

Kelibat Luciano Figueroa yang tidak beraksi pada perlawanan 17 Mac lalu ketika Johor DT tewas 0-2 kepada Kitchee akibat kecederaan, ternyata menjadi duri dalam daging buat pasukan pelawat dengan pemain import Argentina itu membuka tirai jaringan.

Jaringan terhasil pada minit ke-17 itu berpunca daripada gerakan S Kunanlan yang mengumpan kepada Safiq Rahim sebelum ketua pasukan itu bertindak pantas melorongkan tepat buat Figueroa melepasi perangkap ofsaid dan menggelecek penjaga gol Wang Zhenpeng untuk menolak mudah ke gawang terbuka.

Bagaikan mahu membalas dendam kekalahan lalu, Johor DT terus mengganas menggempur benteng pelawat dan pada minit ke-40 Figueroa terlepas peluang keemasan menambah jaringan selepas gagal melakukan rembatan akibat disekat Kim Tae Min.

Selang dua minit kemudian gerakan Kunanlan yang tampak sukar dibendung di posisi sayap kanan memaksa Fernando Recio Comi melakukan terjahan keras dalam kotak penalti dan pengadil Wang Di dari China tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Safiq yang diberikan tugas mengambil penalti itu tenang merembat tepat ke penjuru kanan gawang untuk menewaskan Zenpheng bagi membolehkan tuan rumah mendahului 2-0.

Sebaik babak kedua bermula, skuad kendalian Jose Molina itu mula memberi tekanan terhadap pertahanan tuan rumah, namun benteng diterajui Marcos Antonio dan Junior Eldstal kekal ampuh dengan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan jarang diuji.

Johor DT yang selesa dengan kelebihan dua gol itu tampak lebih menumpukan kepada pengawalan bola di kawasan tengah bagi memastikan pelawat tidak melakukan serangan berbahaya dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 8:53 AM