POLIS memeriksa tempat kejadian, semalam.
POLIS memeriksa tempat kejadian, semalam.
AFP

Jakarta: Satu letupan kuat di tengah bandar ini semalam menyebabkan tiga cedera dan seorang lagi cedera parah.

Pihak polis ketika ini masih enggan mengesahkan bahawa letupan itu berpunca daripada bom.

Bagaimanapun, pihak polis menemui lebih 50 bungkusan mengandungi paku dan serbuk hitam berhampiran kawasan letupan.

Polis berkata, letupan berlaku tengah hari di satu kawasan penduduk padat berhampiran Tanah Abang.

Seorang lelaki cedera parah akibat melecur dan terkena paku yang berterbangan manakala tiga lagi cedera ringan.

Ketua Polis Jakarta, Unggung Cahyono berkata, pihaknya menemui hampir 50 bungkusan mengandungi bahan mencurigakan berhampiran kawasan letupan.

“Ia seperti mercun, mengandungi serbuk hitam, paku dan batu.

“Kemungkinan ketika ia dipasang berlaku kesilapan teknikal yang menyebabkan ia meletup,” katanya.

Ujarnya, sebuah bom biasanya mempunyai alat pemasa dan peledak tetapi alatan berkenaan tidak ditemui di lokasi kejadian.

“Namun, kami masih menyiasat dari segala sudut.

“Tiga mangsa yang cedera ringan akan kami soal-siasat tidak lama lagi,” ujarnya.

Jakarta sebelum ini digemparkan dengan satu bom klorin yang gagal meletup di sebuah pusat beli-belah pada Februari lalu.

Polis mengesyaki cubaan serangan itu didalangi oleh militan yang pulang selepas berjuang bersama kumpulan Negara Islam (IS) di Syria.

Indonesia sering menjadi sasaran serangan militan dan selama 15 tahun pihak polis melancarkan pelbagai operasi bagi membanteras aktiviti pengganas di negara itu.

Serangan terburuk berlaku di Bali pada 2002 apabila beberapa bom yang meletup menyebabkan seramai 202 orang yang majoritinya pelancong asing terbunuh.

Operasi membanteras keganasan yang dilancarkan pihak berkuasa dilihat berjaya mengurangkan aktiviti militan di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 7:34 AM