Jika tidak kerana panggilan ibu yang menyuruhnya pulang, pasti tiada siapa akan mengenali Edin Dzeko.

Bintang kelahiran Sarajevo, Bosnia-Herzegovina yang baru saja menyambut ulang tahun ke-29 baru-baru ini, ketika itu sedang bermain dengan rakan sebelum ibunya, Belma memanggilnya pulang, beberapa ketika sebelum bom jatuh di kawasan tempat dia bermain bola sepak.

“Gerak hati saya menyelamatkan nyawanya,” Belma dilaporkan sebagai berkata dan kini, Dzeko jelas mahu melupakan insiden itu.

“Zaman kanak-kanak saya sudah berlalu,” kata Dzeko yang terpaksa meninggalkan rumahnya di Brijesce di pinggir Sarajevo.

“Ia memang amat sukar tapi bukan hanya saya yang melaluinya. Di Bosnia, perang meletus ketika saya berusia enam hingga 10 tahun, jadi sukar untuk menjalani kehidupan normal.

“Namun ketika itu saya masih muda, ia sudah pun berakhir dan saya tidak mahu bercakap terlalu banyak mengenainya.”

Kini Dzeko gah mengukir nama di Manchester City apabila menjulang Piala FA 2011, Liga Perdana Inggeris 2012 dan 2014.

Kenangan paling manis buat Dzeko tentu sekali menyarung jersi Bosnia-Herzegovina yang membawa negara itu ke pentas Piala Dunia 2014 buat pertama kalinya dan menyatukan rakan senegara yang berkelana di luar negara akibat perang.

Meskipun perjuangan mereka gagal melepasi peringkat kumpulan apabila sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan F, namun semangat yang ditunjukkan skuad Dragons itu tidak boleh dipandang ringan.

Apatah lagi, Dzeko atau digelar Diamant (permata) di negaranya bukan saja menjadi ikon tetapi juga faktor yang ‘mengikat’ persefahaman negara pasca perang itu.

“Dzeko adalah idola nasional. Setiap kali Dzeko menjaringkan gol, setiap pelarian Bosnia di dunia meraikan bersamanya. Dia teladan kami, harapan kami,” kata Asmir Selimovic, seorang pelajar imunologi yang menjadi pelarian di St Louis, Missouri.

Sokongan ibu bapanya dilihat satu faktor yang tidak kurang pentingnya dalam perkembangan karier Dzeko, yang kembali bercambah selepas malapetaka peperangan.

Kedua-duanya berjaya membentuk Dzeko sebagai pemain disegani dalam acuan hidup yang sederhana, sesuai sebagai seorang Muslim.

“Selepas perang tamat, barulah saya dapat bermain bola sepak semula,” kata Dzeko yang sering dilihat membaca doa setiap kali masuk ke padang.

“Bapa saya, Midhat membawa saya ke kelab Zeljeznicar setiap hari selama berminggu-minggu kerana kami tidak mempunyai cukup wang untuk menaiki teksi.

“Saya memang rapat dengan ibu bapa, tentu sekali kerana apa yang saya lakukan adalah disebabkan mereka.

“Sudah banyak ditempuhi mereka demi saya dan mereka amat penting buat saya.”

Bukan itu saja, malah Dzeko yang mampu menguasai empat bahasa iaitu Bosnia, Czech, Jerman dan Inggeris membuktikan betapa rapatnya hubungan mereka sekeluarga apabila sering berkongsi gambar bersama di Instagram.

Mereka juga turut hadir sewaktu City dimahkotakan sebagai juara Liga Perdana Inggeris pada musim 2013-14 di Stadium Etihad.

Selain Dzeko, sepupunya Emir Spahic juga turut dikenali sebagai pemain bola sepak. Spahic kini beraksi dalam Bundesliga Jerman bersama kelab Bayer Leverkusen.

Begitupun, ibu Dzeko turut bimbang dengan populariti mendadak anak lelakinya itu, apatah lagi selepas bergelar pemain bola sepak jutawan.

“Apa yang saya bimbang, wang dan kejayaan akan menyebabkan orang jahat cuba mendekati anak saya,” katanya.

“Sesetengah gadis suka bersama pemain bola sepak terkenal atas sebab yang salah dan saya tidak mahu Edin dirosakkan mereka. Dia seorang yang bijak tapi sudah tentu saya bimbang.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 7:37 AM