JELEBU: Seorang penjual sayur mengalami detik cemas apabila vannya terbakar di hadapan Dewan D'Sury di Majlis Daerah Kuala Klawang, dekat sini, hari ini.

Chong Soi Chang, 76, berkata, kejadian pada 9.07 pagi itu berlaku ketika dia baru sahaja meletakkan van itu di tempat letak kenderaan untuk berniaga di pasar tani di kawasan berkenaan.

"Tiba-tiba, saya terlihat asap putih keluar berkepul-kepul dari bahagian enjin lalu saya bergegas keluar dari kenderaan dan terus menghubungi pihak bomba dengan segera," katanya di sini.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Kamarulhuzaimi Harith berkata, enam anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Api dapat dikawal selama tiga minit dan padam sepenuhnya lima minit kemudian. Jumlah kerugian masih disiasat manakala punca kejadian berkemungkinan disebabkan oleh masalah pendawaian pada enjin.

"Kebakaran tersebut menyebabkan enjin van berkenaan mengalami kemusnahan seratus peratus," katanya.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan, katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 3:13 PM