Oleh Rudy Imran Shamsudin


Tiada yang lebih menggembirakan pelakon Fizz Fairuz, 35, apabila isterinya juga dramatis dikenali, Almy Nadia bakal melahirkan anak perempuan.

Almy yang kini hamil 37 minggu, dijadualkan melahirkan cahaya mata mereka pada 27 Februari ini di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Fizz atau Mohd Fairuz Zainal Abidin yang ditemui baru-baru ini, ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya bakal menyambut kehadiran puteri sulung mereka. Sudah tentu banyak persiapan dan persediaan dibuat bagi menyambut kelahiran anak mereka itu.

“Sebelum ini memang banyak cerita yang saya dengar daripada kawan-kawan yang melalui detik sama. Sebagai bapa, sayalah yang harus pikul tanggungjawab terutama apabila isteri berpantang. Saya harus berjaga malam dan bersengkang mata.

“Begitupun, cerita-cerita begitu membuatkan saya tambah teruja. Kalau dulu tidur lewat boleh bangun lewat, namun bila sudah bergelar bapa nanti segalanya berubah. Saya sudah bersedia menghadapinya,” katanya.

Selain mendengar cerita orang keliling, Fizz turuta membuat sedikit pembacaan bagaimana hendak menangani anak kecil terutama membabitkan kesihatannya.

“Saya ada baca kadangkala bayi menangis tengah malam bukan sebab lapar tetapi disebabkan perut kembung. Saya kena tahu bezakan sama ada anak saya itu nanti menangis sebab lapar atau perut kembung. Perkara seperti itu nampak kecil tetapi besar sebenarnya kesan pada anak,” katanya.

Fizz juga mula belajar mengazankan anak di telinga kanan dan iqamat sebelah kiri. Segalanya dilakukan bagi memastikan keperluan yang perlu dilaksanakan sudah dipersiapkan.

“Saya juga bersyukur kerana keluarga kedua-dua pihak turut membantu. Mereka berkongsi rasa teruja dan bersedia menghulurkan bantuan sekiranya saya dan Almy memerlukan,” katanya.

Fizz akui tidak pernah kesah mengenai jantina anak asal saja apabila dilahirkan nanti, ibu dan bayi sihat. Berkongsi pandangannya mengenai gaya selebriti sekarang yang berkongsi gambar cahaya mata dengan peminat menerusi laman sosial, Fizz sebaliknya tidak berminat melakukan perkara sama.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Anak Halal dan Nur Kasih The Movie itu akui bukan niat mahu menyorokkan anak tetapi dalam tempoh 44 hari berpantang itu turut memegang petua orang-orang tua bahawa bayi masih lagi lemah.

“Banyak perkara yang harus dilakukan dan diikuti bagi mengelakkan perkara-perkara buruk berlaku. Kemungkinan besar anak saya akan bersama Almy berpantang di kampung jadi banyak perkara perlu dilakukan.

“Pada saya tunggulah selepas selesai pantang 44 hari, barulah kami bersedia untuk berkongsi anak bakal dilahirkan bersama peminat,” katanya.

Tegas Fizz, tidak ada perkara yang mahu disorokkan daripada peminat membabitkan kelahiran anak sulungnya nanti, malah dia sedar mereka turut mahu berkongsi kegembiraan.

“Sewaktu berkahwin mereka berkongsi kegembiraan itu bersama kami, begitu juga sewaktu Almy disahkan mengandung. Jadi sudah tentunya apabila melahirkan nanti, wajah anak turut kami akan kongsikan bersama mereka tetapi biarlah selepas habis tempoh pantang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:06 AM