CETUSAN menarik di bilik tidur.
CETUSAN menarik di bilik tidur.

Perkataan batik merujuk kepada proses menghasilkan kain dengan menggunakan teknik terapan lilin.

Ia bagi menghasilkan reka corak yang kemudian dicelup dengan pelbagai warna menarik.

Corak dan motif batik diinspirasikan dari alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan yang digabung dengan corak geometri atau abstrak.

Corak batik itu diaplikasikan ke atas batik menggunakan teknik canting, batik blok dan batik sutera saring.

Perusahaan batik bermula pada awal abad ke-12 di Kepulauan Jawa dan berkembang ke Tanah Melayu.

Batik di negara ini dihasilkan dengan teknik dan corak tempatan.

Malaysia antara negara pengeluar utama batik di dunia yang mendapat pengiktirafan kerana kehalusan kerja tangan.

Batik tempatan daripada pelbagai fabrik asas dihiasi aneka corak dan warna memberikan banyak pilihan kepada pengguna antaranya hiasan rumah, pejabat dan hotel, cenderamata dan pakaian rasmi kebangsaan.

Selain menjadi pakaian ke pejabat dan majlis rasmi, batik turut mewarnai dunia peragaan fesyen.

Batik Blok antara teknik pembuatan batik terawal di negara ini.

Blok yang diperbuat daripada sebongkah kayu atau logam diukir dengan motif sesuai untuk mengecap kain yang dikenali sebagai batik blok atau cop.

Selain kain kapas, penggunaan kain sutera dan organza dalam pengeluaran batik blok sudah menghasilkan tekstil batik yang sesuai untuk rekaan fesyen, perhiasan serta kelengkapan rumah yang eksklusif.

Batik canting dikenali juga batik lukis yang menggunakan lilin cair dilakar menggunakan canting dan diwarna mengikut kesesuaian reka corak.

Batik skrin dikenali batik stensil atau batik sutera saring dan ia merujuk kepada teknik lakaran corak dan terapan warna dilakukan di atas skrin daripada polyster diregang di atas pemidang.

Layari laman web, www.kraftangan.gov.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 5:00 AM