Kaherah: Sebuah mahkamah semalam mengesahkan sabitan serta hukuman mati ke atas 183 lelaki yang didakwa ‘membunuh’ 13 anggota polis di sebuah bandar di pinggir Kaherah pada 2013.

Ketetapan itu dibuat hakim selepas hukuman awal mengenainya dihantar kepada Mufti Besar Mesir dan penterjemah rasmi kerajaan untuk pengesahan Disember lalu.

Daripada jumlah itu, 143 sedang berada dalam penjara.

Menurut sumber, mereka didakwa menyerang sebuah balai polis di petempatan Kerdassa di luar Kaherah.

Serangan itu berlaku pada hari sama anggota keselamatan Mesir mengganas dan membunuh ratusan orang awam di dua pusat protes di Kaherah.

Mereka berkumpul kerana membantah tindakan Abdel Fattah al-Sisi menggulingkan Presiden sah Mesir, Mohamed Mursi Isa al-Ayyat pada 3 Julai 2013.

Serangan di balai polis itu dilaporkan berlaku pada 14 Ogos tahun sama.

Sejak kerajaan demokrasi berkubur di Mesir, sekurang-kurangnya 1,400 orang maut dalam pelbagai keganasan.

Mahkamah pula menjatuhi hukuman mati kepada ratusan orang dalam tindakan dianggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai “tidak pernah berlaku dalam sejarah moden.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 5:48 AM