Colorado: Seorang pemilik kambing yang mempunyai ijazah dalam pengajian tumbuh-tumbuhan mendakwa, haiwan berkenaan boleh digunakan untuk mengelak melakukan pembakaran terkawal di lokasi seluas 283 hektar di Rocky Flats National Wildlife Refuge yang pernah menjadi tempat simpanan senjata nuklear.

Lani Malmberg mendakwa membiarkan kambingnya makan rumput di kawasan itu akan menghapuskan ancaman penyebaran plutonium radioaktif dan tidak menyebabkan sebarang bahaya terhadap haiwan terbabit.

Katanya, tanah yang didedahkan dengan bahan toksik tidak sepatutnya dibakar kerana boleh membahayakan orang ramai.

Kawasan itu diwujudkan pada 2006 selepas tempat penyimpanan senjata nuklear ditutup sebaik usaha pembersihannya yang memakan belanja AS$7 billon (RM25 bilion) diselesaikan setahun sebelumnya.

Beberapa pihak menyuarakan kebimbangan pembakaran terkawal boleh membebaskan plutonium ke udara.

Jurucakap Perkhidmatan Perikanan dan Hidupan Liar Denver, John Bryan berkata, agensi itu tidak menganggap cadangan Lani wajar dilakukan disebabkan kekurangan pagar dan kakitangan untuk memantaunya.

“Bagaimanapun pihak kami sedang memikirkan alternatif lain. Setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Jabatan Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Colorado pada 20 Januari lalu mengeluarkan permit membenarkan pembakaran terkawal di lokasi dikenali sebagai South Woman Creek, berhampiran kawasan pembangunan perumahan baru. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 5:43 AM