MOHD Isa (dua dari kiri) menyampaikan replika kad FU4U kepada Indra Putra Mahayuddin, semalam
MOHD Isa (dua dari kiri) menyampaikan replika kad FU4U kepada Indra Putra Mahayuddin, semalam
Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: FELDA United tetap yakin bekas penyerang Harimau MudaA, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir akan bersama mereka musim ini meskipun masih tiada keputusan dibuat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang bertanggung jawab mengeluarkan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) terhadap pemain itu.

Setiausaha Agung FELDA United Zulkarnain Muhammad berkata, pihaknya memandang positif kes perebutan pemain berusia 22 tahun itu apabila KAFA bersedia mengadakan rundingan dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Kami sudah mendapat surat daripada KAFA Khamis lalu dan akan mendapatkan tarikh sesuai untuk mengadakan pertemuan. KAFA sedia berunding untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah Ferris ini.

“Kami sudah mendaftar Ferris dan menandatangani kontrak dengannya. Kami juga tidak ada masalah dengan FAM dari segi pendaftaran cuma perlu memohon SPN. KAFA sudah mempunyai 26 pemain dan nampak agak positif untuk Ferris bersama kami,” katanya.

Zulkarnain ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Kad keahlian FELDA UNITED FOR YOU (FU4U) yang disempurnakan Penaung Kelab Bolasepak FELDA United Tan Sri Mohd Isa Samad semalam.

Kad FU4U yang menawarkan pelbagai manfaat seperti kemudahan kesihatan dan pendidikan inisiatif terbaru kelab itu menarik minat ramai lagi penyokong memberikan sokongan kepada skuad The Fighters.

Kemelut kedudukan Ferris masih buntu meskipun FELDA United kendalian Irfan Bakti Abu Salim bakal memulakan kempen Liga Super 2015 menentang Sarawak, Sabtu ini selepas KAFA bertegas pemain itu perlu kembali ke pasukan negeri kelahirannya selepas kontrak bersama Harimau Muda A berakhir.

Zulkarnain bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada akan merujuk kepada FAM bagi mencari jalan penyelesaian.

“Kami belum berbincang dengan KAFA dan saya tak berani komen. Saya fikir KAFA setuju untuk melepaskan Ferris, namun mungkin ada syarat-syarat tertentu,” katanya

Sementara itu Ferris yang turut ditemui pada majlis itu enggan memberikan sebarang komen sebaliknya menyerahkan segala perbincangan kepada pihak pengurusan FELDA United.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 6:00 AM