ANGGOTA polis menahan kesakitan selepas terkena semburan cecair pemedih mata awal pagi semalam.
ANGGOTA polis menahan kesakitan selepas terkena semburan cecair pemedih mata awal pagi semalam.
Agensi

Hong Kong

Leung Chun-ying semalam berkata, dia berharap kerajaan dapat berbincang dengan pemimpin pelajar yang menuntut pembaharuan demokrasi di pulau itu seawal minggu depan.

Kata Ketua Eksekutif Hong Kong itu, sejak beberapa hari lalu kerajaan mahu dialog dimulakan bagi mencari penyelesaian kemelut di wilayah berkenaan.

“Politik adalah seni kemungkinan dan kami perlu menentukan batasan antara sesuatu yang mungkin dan mustahil,” katanya.

Pendirian berbalik Leung itu dibuat sehari selepas orang ramai berang dengan tindakan ganas polis mengasari, menendang dan memukul penunjuk perasaan ketika tangannya bergari.

Polis juga mengheret penunjuk perasaan serta menyembur cecair pemedih mata bagi menyuraikan mereka awal pagi kelmarin.

Bagaimanapun masa depan tawaran itu masih kabur kerana pemimpin pelajar menampakkan kecurigaan mereka.

Joshua Wong, 18, yang mengetuai kumpulan Scholarism berkata, dia faham anggota keselamatan ditugas mengawal tapak demonstrasi hanya mengikut arahan.

“Tetapi saya tidak akan mengulangi kata-kata ini lagi: Jika mereka cuma menjalankan tugas, mengapa mesti memukul orang ramai?” katanya.

Selepas protes melumpuhkan sebahagian daripada Hong Kong sejak dua minggu lalu, cubaan berunding di antara penunjuk perasaan dibatalkan kerajaan.

Ketua Setiausaha Hong Kong, Carrie Lam berkata, kerajaan menganggap mustahil rundingan itu dapat membawa sebarang manfaat.

Pelajar dan orang awam berkumpul di beberapa lokasi di sekitar Hong Kong menuntut pelaksanaan pilihan raya bebas di pulau itu pada 2017.

Mereka juga menuntut Leung meletak jawatan tetapi Beijing bertegas menolaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:02 AM