DR Chua menunjukkan rangka kaki.
DR Chua menunjukkan rangka kaki.
RAWATAN pada kaki bunion bagi melegakan kesakitan.
RAWATAN pada kaki bunion bagi melegakan kesakitan.
Oleh Zaitie Satibi


Lazimnya kita membeli kasut kerana terpengaruh dengan aliran fesyen semasa atau mengikut kesesuaian gaya tanpa memikirkan aspek kesihatan kepada kaki. Tanpa disedari, pemakaian kasut yang tidak sesuai sebenarnya boleh menyumbang kepada kecacatan kaki.

Kaki dan buku lali manusia adalah struktur mengandungi kira-kira 52 tulang di kedua-dua belah kaki dan membentuk 25 peratus daripada semua tulang dalam badan.

Sungguhpun lebih kecil daripada anggota badan lain, kaki menempatkan lebih daripada 60 sendi, 200 otot, tendon dan ligamen yang membantu pergerakan dan seterusnya menjamin kualiti hidup yang baik.

Justeru, kaki yang tidak dijaga dengan baik seperti memakai kasut tidak sesuai akan menimbulkan banyak masalah, sedang­kan tujuan utama penggunaan kasut adalah memberi perlindungan kepada kaki dan mengelak kecederaan.

Perunding Pelawat dan Pakar Bedah Kaki dan Buku Lali Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Chua Yeok Pin berkata, kasut untuk menjaga kesihatan dan keselamatan kaki perlu sesuai dengan tapak kaki kerana kasut yang terlalu sempit, terlalu rendah, terlalu tinggi atau terlalu besar boleh mengakibatkan ketidakselesaan, kecederaan serta kecacatan tetap.

Banyak penyakit atau masalah kaki berkaitan dengan pemilihan kasut dan masalah yang kerap berlaku adalah kaki bunion, terutama dalam kalangan wanita akibat pemakaian kasut bertumit tinggi, ketat dan runcing di depan.

Pemakaian kasut sedemikian akan menghimpit keseluruhan bahagian depan kaki dan pemakaian yang kerap serta bagi tempoh lama menyebabkan kesakitan saraf.

"Kasut yang runcing atau bermuncung dan ketat di depan adalah faktor paling biasa me­nyebabkan masalah bunion pada wanita.

"Bunion adalah kecacatan sendi metatarsofalangeal di pangkal ibu jari kaki. Ia terbentuk apabila tulang metatarsus pertama kaki terpusing keluar dan ibu jari kaki membengkok atau terhala ke dalam ia­itu ke arah jari lain, menyebab­kan sendi terbonjol.

"Masalah kaki seperti ini adalah keadaan biasa tetapi sering disalah faham, menye­babkan pesakit menderita bertahun-tahun sebelum mendapatkan rawatan.

"Ini kerana pada mulanya bunion mungkin tidak menimbulkan masalah, tetapi ia bersifat progresif apabila semakin lama ibu jari pesakit semakin bengkok dan menyebabkan pelbagai komplikasi sakit kaki yang lain," katanya.

Dr Chua berkata, kaki yang menghidap masalah bunion boleh dilihat menerusi gejala seperti bonjolan di bahagian luar pangkal ibu jari kaki, kemerahan atau kesakitan di sendi ibu jari kaki, penebalan kulit pada pangkal ibu jari kaki, sel kulit di atas atau di celah jari kaki dan tapak kaki akan mengeras.

Disebabkan masalah kaki bunion bersifat kekal, antara komplikasi yang mungkin berlaku ialah bursitis yang terjadi apabila tisu pelapik antara tulang, tendon dan otot berhampiran sendi menjadi radang akibat geselan bahagian yang membonjol dengan kasut yang dipakai.

Jari kaki tukul (hammertoe) iaitu ketidakjajaran sendi kaki atau masalah otot atau saraf di kaki menyebabkan jari yang biasanya di sebelah ibu jari kaki akan melengkuk. Komplikasi lain seperti kesakitan dan keradangan pada bola kaki di bahagian tapak kaki akibat tekanan berulang pada tulang metatarsal.

"Masalah kaki bunion boleh dikenal pasti menerusi pemeriksaan pada bahagian kaki dengan melihat keadaan tulang yang terbonjol, kemerahan atau bengkak. Selain pemeriksaan fizikal, pemeriksaan melalui sinar X dapat membantu mengesan punca dan tahap kesakitan.

"Rawatan untuk kaki bunion boleh dijalankan tanpa pembedahan, tetapi berdasarkan tahap serius masalah kaki itu dihadapi. Penghidap kaki bunion boleh menukar kepada pemakaian kasut yang betul bagi mengelak tekanan pada bahagian sisi kaki atau membalut kaki yang membonjol dengan alas dan pita bagi melegakan kesakitan.

"Bagaimanapun, jika rawatan bukan pembedahan gagal melegakan kesakitan bunion dan ia mengganggu aktiviti harian, penghidap bunion perlu menjalani pembedahan untuk membuang tulang yang terbonjol selain membetulkan perubahan dalam struktur tulang kaki serta perubahan tisu lembut yang mungkin juga berlaku," kata­nya.

Beliau berkata, dalam merawat keadaan kaki dan buku lali yang sukar dan rumit, pakar bedah kini menggunakan teknologi cang­gih seperti peralatan Ilizarov dan rangka berbilang paksi untuk memanjang atau membentuk semula tulang kaki dan merawat keretakan tulang yang kompleks dan terbuka.

Pemetaan kaki dan sensor tekanan kini digunakan sebagai cara paling cepat dan tepat untuk menganalisis gaya jalan, titik tekanan kaki dan pusat impak plantar yang memberi data berharga untuk pakar menilai dengan segera antara lain ke­adaan berkaitan kaki diabetes, analisis keupayaan menampung berat badan dan kesesuaian bentuk alat ortotik dan prostetik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:01 AM