TUCHEL (kiri) mahu rencat misi Ancelotti.
TUCHEL (kiri) mahu rencat misi Ancelotti.

Berlin: Skuad Borussia Dortmund kendalian Thomas Tuchel berharap dapat menambah duka Bayern Munich kebelakangan ini dalam aksi separuh akhir Piala Jerman awal pagi Khamis ini untuk menghalang Carlo Ancelotti menjulang dua gelaran domestik.

Kedua-dua Bayern dan Dortmund tersingkir dari kempen Liga Juara-Juara, masing-masing di tangan Real Madrid dan Monaco pada aksi suku akhir, tetapi mereka akan bertemu di Arena Allianz untuk tiket ke final di Berlin, 27 Mei ini.

Bayern kini mendahului liga Jerman dan berharap dapat mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum Real yang diketuai Cristiano Ronaldo meranapkan impian mereka.

Sebagai ganti rugi, Ancelotti berharap dapat menamatkan musim pertama sebagai pengurus Bayern dengan gelaran liga dan piala Jerman.

Bagaimanapun, sebelum itu Dortmund perlu menguasai ulangan final tahun lalu yang menyaksikan Bayern menang 4-3 menerusi penalti selepas seri tanpa jaringan.

“Kini kami mahu mengganggu musim Bayern sedikit lagi,” gurau Tuchel selepas Dortmund bangkit untuk menang 3-2 ke atas Monchengladbach kelmarin untuk berada di tangga ketiga liga utama Jerman.

Kemenangan itu hadir selepas polis menahan suspek serangan bom 11 April lalu ke atas bas pasukan Dortmund yang menyebabkan pertahanan Marc Bartra menjalani pembedahan pergelangan tangan.

“Kemenangan itu memberi galakan dan keyakinan untuk perlawanan Rabu ini,” kata pengarah sukan Dortmund Michael Zorc selepas tandukan saat akhir Raphael Guerreiro memastikan kemenangan di Gladbach.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 8:56 AM