TAN bercakap dalam sidang media.
TAN bercakap dalam sidang media.

Kuala Lumpur: Grabtaxi Holdings Pte Ltd dan SoftBank Internet and Media Inc (SIMI) mengumumkan perjanjian pelaburan AS$250 juta ke dalam GrabTaxi (dikenali sebagai MyTeksi di Malaysia) dari SoftBank Corp untuk menjadikannya sebagai pelabur terbesar dalam MyTeksi.

Naib Pengerusi SoftBank Corp dan CEO SIMI Nikesh Arora berkata, MyTeksi menjadi pemain yang dominan dalam industri tempahan teksi mudah alih di Asia Tenggara dalam tempoh dua tahun ini dan pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan pasukan berkenaan dan menyokong peluasan MyTeksi di rantau ini.

“Menerusi pelaburan strategik dan perkongsian dengan MyTeksi ini juga, SoftBank Group menyasarkan untuk menambah kehadiran di Asia Tenggara dan memaksimumkan sinergi dengan rangkaian syarikat Internet di seluruh dunia,” katanya.

Dilancarkan pada 2012, MyTeksi kini beroperasi di 17 bandar di enam negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia.

Pengasas dan CEO Kumpulan MyTeksi, Anthony Tan berkata, pihaknya akan memanfaatkan kepakaran SoftBank dan sinergi kumpulan melangkaui platform mudah alih dan Internet untuk memacu pertumbuhan lebih positif.

“Pusingan baru dana akan memacu misi kami untuk merevolusikan dan menambah baik cara masyarakat Asia Tenggara bergerak secara lebih agresif berbanding sebelum ini,” katanya.

Dengan keseluruhan pelaburan sejak 14 bulan lalu berjumlah AS$340 juta, MyTeksi kini mendahului industri di rantau ini dari segi perolehan dan pertumbuhan.

Walaupun berdepan saingan sengit di pasaran Asia Tenggara tahun lalu, MyTeksi terus mendominasi rantau ini dan mengekalkan sokongan padu dari segi rangkaian pemandu teksi dan pindah turun aplikasi mudah alih dengan lebih 500,000 pengguna aktif dan 2.5 juta pindah turun aplikasi sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:24 AM