Laporan polis yang dibuat dan penipuan si pencuri yang menyamar meminta wang daripada rakan Mohd Izamri.
Laporan polis yang dibuat dan penipuan si pencuri yang menyamar meminta wang daripada rakan Mohd Izamri.
Ridhatul Rizki


Kuala Lumpur: “Lelaki itu bukan saja mencuri telefon pintar saya, malah dia menyamar dengan menghantar pesanan menerusi Whatsapp menggunakan telefon itu kepada beberapa rakan saya untuk meminta sejumlah wang,” kata pemilik kedai haiwan peliharaan Kitty Kittun Catshop, Mohd Izamri Abu Umor@Abu Umar, 38.

Telefon pintar model Samsung J5 miliknya dicuri ketika dia melayan pencuri itu yang kononnya mahu membeli barang keperluan kucing, semalam.

Menurut Izamri, tiga rakannya terpedaya dengan permintaan lelaki terbabit dan masing-masing memindahkan wang sebanyak RM1,000, RM700 dan RM500.

“Mereka sangka saya sedang dalam kesusahan dan sangat memerlukan wang. Sebab itu mereka tidak mengsyaki apa-apa dan terus saja memindahkan wang ke nombor akaun yang diberi lelaki terbabit. Yang peliknya, ketiga-tiga nombor akaun yang diberikan adalah berbeza,” katanya.

Tambahnya, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Batu Caves untuk tindakan lanjut pihak berkuasa. Manakala ketiga-tiga rakannya membuat laporan di balai yang berbeza.

Mengimbas kembali kejadian terbabit, Izamri berkata, hanya dia saja yang berada di kedai yang terletak di Taman Samudera, Batu Caves.

Katanya, pencuri terbabit berusia 30-an dan datang ke kedainya seorang diri.

“Kejadian berlaku sekitar 2 petang dan ketika itu dan saya seorang diri di kedai. Tiba-tiba ada seorang lelaki masuk ke kedai dan katanya nak beli sangkar.

“Kebetulan sangkar kucing habis dan saya maklumkan kepadanya, tetapi dia bertegas mahu melihat barang keperluan kucing.

“Pada awalnya saya tak mengsyaki apa-apa kerana dia mahir dengan keperluan dan baka kucing. Kemudian dia ambil beberapa barang yang bernilai hampir RM500 untuk dibeli. Tiba-tiba dia kata duit tak cukup dan mahu keluarkan duit di bank yang terletak di tingkat bawah kedai saya dan sekitar 20 minit selepas dia keluar, baru saya perasan telefon pintar saya hilang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Izamri, dia mengakui membuat kesilapan kerana lewat melaporkan hal terbabit ke pihak telko bagi menamatkan perkhidmatan nombor telefon bimbitnya.

“Saya buat kesilapan bila saya melaporkan ke pihak telko untuk menyahaktifkan nombor telefon bimbit saya agak lewat. Kejadian berlaku sekitar jam 2 petang, tapi jam 7 malam baru saya laporkan hal terbabit. Nasib baik saya boleh dapatkan semula nombor lama saya.

“Sekitar 7.30 malam apabila nombor telefon bimbit saya sudah diaktifkan semula, saya terima pesanan Whatsapp daripada rakan yang bertanya jika saya sudah terima duit yang saya minta. Rupanya pencuri terbabit menghantar pesanan ke rakan-rakan saya kononnya mahu meminjam sejumlah wang,” katanya.

Izamri berkata, kedainya baru baru sebulan beroperasi, justeru, ciri-ciri keselamatan masih belum diaktifkan.

“Sekarang saya perlu lebih berhati-hati dan meningkatkan ciri-ciri keselamatan di kedai ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 11:10 PM