SYAFIQ (kiri) tekad perbaiki pencapaian di Singapura.
SYAFIQ (kiri) tekad perbaiki pencapaian di Singapura.

Kuala Lumpur: Peluang berguru di Britain amat dihargai pemain skuasy negara Mohammad Syafiq Mohd dengan harapan dapat membantu negara menyumbangkan lebih daripada satu emas di temasya Sukan SEA Ogos ini.

Dia yang kini berada di sana untuk sesi latihan dan menyertai beberapa kejohanan akan berlepas ke Ireland pada 9 April ini untuk menyertai kejohanan profesional sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA dan juga menaikkan ranking dunianya.

Dia yang kini menghuni ranking ke-103 dunia berkata, biarpun Malaysia mempunyai kelebihan menyapu bersih tujuh emas dipertandingkan namun setiap pemain perlu berhati-hati dan tidak memandang rendah keupayaan lawan.

“Singapura dan Filipina mempunyai beberapa pemain yang mampu untuk memberikan cabaran.

“Tapi saya berasakan jika setiap pemain kekal fokus tiada masalah untuk kita menyapu bersih semua emas dipertandingkan,” katanya.

Dua tahun lalu khidmat Syafiq diperlukan untuk membantu skuad negara meraih emas acara berpasukan.

Kali ini dia bertekad memperbaiki pencapaian satu emas ketika di Singapura seandainya diberi kepercayaan sekali lagi mengalas tugas.

Kata Syafiq dia dijangka turun beraksi dalam acara beregu, bergandingan dengan juara remaja dunia Ng Eain Yow selain mempertahankan emas acara berpasukan.

Bagaimanapun senarai rasmi pemain yang akan mewakili negara hanya akan diumumkan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Julai ini.

Dua tahun lalu ketika di Singapura, barisan pemain skuasy negara meraih empat emas, empat perak dengan Singapura berjaya mencuri satu emas acara beregu lelaki.

Mempunyai barisan pemain yang mempunyai nama hebat di pentas dunia seperti Eain Yow, S Sivasangari, Rachel Arnold yang beraksi di Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia, pemain negara dijangka tidak berdepan masalah muncul juara keseluruhan skuasy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 6:33 AM