SAJIAN nasi lemak kambing legend, menu wajib dicuba di Rezqi D’ Dapur.
SAJIAN nasi lemak kambing legend, menu wajib dicuba di Rezqi D’ Dapur.
NASI lemak sambal sotong.
NASI lemak sambal sotong.
NASI lemak sambal udang.
NASI lemak sambal udang.
MOHD Zainol Fitri (kiri) membakar hirisan daging kambing.
MOHD Zainol Fitri (kiri) membakar hirisan daging kambing.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Hirisan daging kambing diperap menggunakan rempah ratus istimewa mengeluarkan aroma cukup ‘menggoda’ selera penulis yang kebetulan singgah untuk menikmati hidangan malam di kedai makan Rezqi D’ Dapur yang terletak berdekatan kawasan industri ringan, Padang Lalang, Kuantan, Pahang.

Bau harum rempah perapan daging kambing yang dibakar menggunakan arang membuatkan penulis tidak sabar untuk merasai kelembutan dan keenakannya ketika dimakan bersama nasi lemak.

Pemilik, Mohd Zainol Fitri Zainudin,32, berkata, dia hanya menggunakan daging kambing New Zealand di bahagian bahu untuk dijadikan hirisan kambing bakar.

“Bahagian bahu antara yang mudah lembut dan hanya mengambil masa lima hingga 10 minit untuk bakar sebelum dihidangkan kepada pelanggan.

“Hirisan daging ini diperap semalaman terlebih dahulu menggunakan pelbagai jenis rempah ratus termasuk halia, jintan putih, jintan manis, tepung jagung, lada hitam, garam dan gula,” katanya.

Rezqi D’ Dapur memperuntukkan hampir 10 kilogram hirisan daging kambing seminggu untuk memenuhi permintaan pelanggan dan jumlahnya meningkat jika menerima tempahan luar.

“Resipi untuk membuat rempah perapan ini diberikan seorang sahabat dan ternyata ia ‘sangat asli’ dan berbau rempah Melayu tradisional sesuai dengan selera tempatan,” katanya.

Mohd Zainol Fitri berkata, kedai makan yang dibuka sejak dua tahun lalu itu menawarkan dua menu sajian nasi lemak dan sate ayam sahaja, bagaimanapun tetap mendapat sambutan menggalakkan kalangan peminat makanan tradisional Melayu itu.

Begitupun, katanya, kedai berkenaan turut menyediakan sarapan kuih-muih dan makan tengah hari pelbagai masakan berasaskan ayam, ikan dan daging pada harga antara RM1 dan RM3.50 yang diuruskan rakan kongsi, Mohd Iqbal Haris, 27.

“Walaupun menu kami ‘simple’ sahaja, ia tidak menghalang pengunjung menikmati hidangan yang disajikan kerana mempunyai keistimewaannya tersendiri.

“Nasi lemak dimasak menggunakan santan segar, campuran serai, halia dan daun pandan untuk menimbulkan aroma dan dihidang ketika masih panas untuk menikmati keenakannya,” katanya.

Bagi menyediakan sambal tumis pula, Mohd Zainol Fitri belajar daripada ibunya, Fauziah Abu Bakar, 60, yang mempunyai kemahiran dan berpengalaman luas dalam bidang masakan sejak usia remaja.

“Air tangan ibu memang ‘power’ dan rasa masakannya sangat ‘tradisional’ menyebabkan saya mengambil keputusan untuk tidak mengolah semula resipi sambal tumisnya untuk mengelak ia berubah rasa,” kata bekas pelajar Kolej Yayasan Pahang (KYP) itu.

Nasi lemak kambing legend dijual pada harga RM5 manakala nasi lemak ayam goreng, udang, sotong, kerang dan ikan (RM3.50) sementara nasi lemak telur mata dan telur dadar RM2.50 setiap set selain keropok ikan patin yang berharga RM4 sebungkus enak dimakan bersama nasi lemak.

Minuman sejuk dan panas hanya dijual pada harga RM1.50 hingga RM2.50 segelas.

Kedai makan itu turut menyediakan menu Sate Ayam Kebabom dan setiap set mengandungi lapan cucuk sate, nasi impit, timun dan kuah kacang berharga RM10.

Rezqi D’ Dapur dibuka setiap Isnin hingga Khamis mulai jam 6.30 petang hingga 12 malam manakala Jumaat dan Sabtu mulai 6.30 petang hingga 1.30 pagi dan tutup Ahad.

Menurut Mohd Zainol Fitri, dia menawarkan sajian pada ‘harga patut’ berikutan kedudukannya di kawasan industri ringan, kilang, bengkel membaiki kenderaan dan asrama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Harga makanan dan minuman di sini lebih rendah berbanding tempat lain kerana kedai ini menjadi tumpuan pekerja berpendapatan rendah dan pelajar.

“Tambahan pula kami lebih kepada konsep ‘beli dan bungkus’ kerana pelanggan lebih selesa dengan cara itu. Kebiasaannya nasi habis sebelum jam 9 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 11:19 AM