GIBBONS (tengah)puas kucup trofi.
GIBBONS (tengah)puas kucup trofi.
Azlan Muhammad Zain


Putrajaya: Dimension Data memastikan kejayaan hatrik meraih jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 menerusi Ryan Gibbons.

Pelumba dari Afrika Selatan berusia 22 tahun itu mengikut jejak langkah juara edisi 2015 Youcef Reguigui (dulu dikenali pasukan MTN Qhubeka) dan juara edisi 2016 Reinardt Janse van Rensburg untuk muncul pelumba terbaik keseluruhan.

“Apabila pasukan menaruh keyakinan kepada saya di LTdL, saya kurang berkeyakinan kerana ini tahun pertama saya. Malah ini perlumbaan kedua saya tahun ini.

“Saya tidak sangka dapat merealisasikannya hari ini (semalam). Impian menjadi realiti,” jelas Gibbons.

Tambahnya, bukan sesuatu yang mudah untuk dirinya kerana berdepan tekanan setiap hari.

“Setiap hari perlumbaan memberikan tekanan kerana menyarung jersi kuning. Saya perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan dan strategi pasukan lawan.

“Saya sedar dan gembira kerana mempunyai sokongan yang bagus dari rakan sepasukan. Namun apa saja boleh berlaku termasuk masalah basikal. Jadi saya sentiasa tertekan,” tambahnya.

Bagaimanapun Gibbons menjelaskan, keyakinan dan kepercayaan kepada rakan sepasukan amat penting untuk dia dinobatkan juara edisi ke-22 LTdL kali ini.

Gibbons menamatkan perlumbaan peringkat terakhir semalam pada kedudukan keempat dengan Travis McCabe dari UnitedHealthCare Pro Cycling muncul juara.

Bagaimanapun kejayaan menduduki tempat keempat membolehkan Gibbons turut dinobatkan Raja Pecut (jersi teal) dengan mengumpul 75 mata.

Dia muncul pelumba kedua dari Afrika Selatan memenangi Raja Pecut selepas Robert Hunter melakukannya pada 2002.

Pelumba Infinite AIS Cycling Team John Kronberg Ebsen pula muncul pelumba Denmark pertama memenangi gelaran Raja Bukit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 8:31 AM