BERNAMA

Seoul: Kementerian Perpaduan Korea Selatan menolak dakwaan Korea Utara bahawa Malaysia menjalin pakatan sulit dengan Seoul dalam siasatan kematian Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap, melaporkan Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol menolak hasil siasatan Malaysia yang menunjukkan sekurang-kurangnya lima rakyat Korea Utara disyaki terbabit dengan kematian Jong-nam minggu lalu.

Beliau menuduh Malaysia "bersekongkol dan mengikut selera kuasa luar" dalam siasatannya, dipercayai merujuk kepada Korea Selatan.

Agensi berita itu melaporkan Kementerian Perpaduan menolak sekeras-kerasnya dakwaan Kang itu dan menyifatkannya sebagai "tidak munasabah dan bersifat sofistik."

"Komen duta itu mengenai Korea Selatan itu adalah suatu dakwaan, yang bukan sahaja tidak masuk akal, malah tidak wajar dibalas," kata pegawai kementerian itu.

Setakat ini, polis Malaysia sudah menahan dua wanita - seorang menggunakan pasport Indonesia dengan nama Siti Aishah dan seorang lagi menggunakan pasport Vietnam dengan nama Doan Thi Huong - serta seorang lelaki Malaysia dan seorang lelaki Korea Utara.

Polis berkata mereka sedang berusaha mengesan empat lagi rakyat Korea Utara yang meninggalkan Malaysia pada hari kematian Jong-nam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 6:12 PM