Bot yang dinaiki guru SK Sumandi bocor dan dimasuki air. FOTO ihsan polis
Bot yang dinaiki guru SK Sumandi bocor dan dimasuki air. FOTO ihsan polis
Norasikin Daineh


Semporna: Seramai 16 guru terselamat selepas bot dinaiki mereka bocor ketika dalam perjalanan dari Jeti Umum Semporna ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sumandi, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, semua guru diselamatkan selepas juragan memecut bot ke jeti terdekat di Pulau Larapan.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Peter Umbuas berkata, bot itu dinaiki 16 guru dari SK Sumandi yang dalam perjalanan dari Jeti Umum Semporna menuju ke sekolah.

“Ketika dalam perjalanan bot mengalami kebocoran dan dimasuki air di perairan Tobo-Tobo.

“Juragan bertindak memecut ke Jeti SK Larapan untuk menyelamatkan keadaan dan tiba di jeti berkenaan pada jam 7.35 pagi," katanya ketika dihubungi tadi.

Peter berkata, semua penumpang dalam keadaan selamat namun sehingga kini tiada laporan polis dibuat.

Difahamkan, bot berkenaan turut membawa dua murid dari sekolah yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 2:33 PM