MAYAT Lenin yang disimpan dalam keranda kaca di Moscow. - Agensi
MAYAT Lenin yang disimpan dalam keranda kaca di Moscow. - Agensi
Agensi

Moscow: Mayat pemimpin pertama Soviet, Vladimir Lenin akan dipakaikan dengan pakaian baru menjelang ulang tahun ke-100 revolusi Bolshevik November ini.

Terletak di dalam keranda kaca dengan tangannya terletak pada pahanya, mayat yang diawet itu sekali imbas kelihatan seperti patung lilin.

Tetapi ia memang mayat Lenin yang mati 92 tahun lalu. Sekiranya dijaga dengan betul dan sering diawet semula, ia boleh bertahan selama ratusan tahun lagi, kata saintis.

Apabila dia mati pada Januari 1924, tidak ada orang yang merancang untuk menyimpan mayatnya sebegini lama.

Selepas menjalani bedah siasat, mayat itu diawet buat sementara waktu bagi mengelak ia reput dan selama empat hari ia diletakkan di keranda terbuka di Rumah Kesatuan di tengah Moscow.

Orang ramai datang menziarah mayat berkenaan walaupun suhu ketika itu negatif 7 darjah Celsius.

Kerajaan kemudian memindahkan keranda itu ke sebuah dewan di Dataran Merah. Memandangkan cuaca amat sejuk, mayat berkenaan tidak mereput walaupun sudah 56 hari dia mati.

Pegawai Soviet mengambil keputusan untuk mengawetnya secara kekal apabila cuaca semakin panas.

Walaupun saintis berjaya mengekalkan tulang, otot, kulit dan tisu lain, namun semua organ dalamannya sudah dikeluarkan.

Otaknya dikeluarkan untuk dikaji oleh ‘Institut Otak’ Soviet yang ditubuhkan tidak lama selepas kematian Lenin dengan tujuan untuk mengkaji ‘keupayaan luar biasanya.’

Kepingan otak itu masih disimpan hingga ke hari ini di Pusat Neurologi di Akademi Sains Russia.

Dewan berkenaan akan ditutup kepada pelawat antara 16 Februari dan 16 April bagi membolehkan pakaian mayat Lenin ditukar dan penyelenggaraan lain dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 7:37 AM