MENYEDIAKAN tempahan meja untuk pelanggannya di restoran.
MENYEDIAKAN tempahan meja untuk pelanggannya di restoran.
MOHD Amirul bersama hadiah yang bakal dihantar kepada pelanggannya.
MOHD Amirul bersama hadiah yang bakal dihantar kepada pelanggannya.
MOHD Amirul turut menyediakan perkhidmatan membawa pelanggannya mengelilingi pulau.
MOHD Amirul turut menyediakan perkhidmatan membawa pelanggannya mengelilingi pulau.
GAYA santai menuju ke arah pelanggan yang bakal dikejutkan dengan bunga.
GAYA santai menuju ke arah pelanggan yang bakal dikejutkan dengan bunga.
MOHD Amirul menjadi perhatian orang ramai ketika membawa sejambak bunga dan belon untuk pelanggannya.
MOHD Amirul menjadi perhatian orang ramai ketika membawa sejambak bunga dan belon untuk pelanggannya.
Fatin Farhana Japre


Memberi kejutan kepada seseorang mungkin tampak indah pada mata kita namun hakikatnya si penghantar berdepan pelbagai cabaran daripada individu yang menerima hadiah.

Ada yang gembira, teruja dan ada pula tidak mahu menerimanya langsung serta menghalau penghantar hadiah.

Itu antara cabaran dihadapi Mohd Amirul Ali, 23, yang menyediakan perkhidmatan penghantaran hadiah di sekitar Lembah Klang dikenali sebagai ‘CEO Surprise Delivery’ sejak pertengahan tahun lalu.

Menurut Mohd Amirul yang juga jurugambar sambilan, dia mendapat idea menyediakan perkhidmatan itu apabila membuat kejutan sempena hari lahir ibunya, tahun lalu.

“Saya membawa balik belon dan sejambak bunga ros untuk diberikan kepada ibu sempena hari lahirnya. Wajahnya yang ceria mencetuskan idea untuk menceriakan insan lain di sekeliling saya memandangkan ketika itu tempahan khidmat fotografi berkurangan.

“Bermodalkan RM1,000, bulan Jun tahun lalu saya mula mengorak langkah pertama memuat naik gambar kejutan sempena hari lahir ibu di Instagram (@ceosurprisedelivery) dan mendapat tempahan daripada rakan untuk memberi kejutan kepada isterinya sempena ulang tahun perkahwinan mereka.

“Ketika saya menghantar sejambak bunga dan belon, isterinya mengalirkan air mata kerana terharu dan saya rasa sangat gembira kerana menjadi orang tengah untuk detik indah itu. Saya meneruskan lagi usaha mempromosikan perkhidmatan ini menerusi Instagram dan sehingga hari ini lebih 500 orang yang saya temui untuk diberi kejutan sempena hari lahir mereka dan sebab lain,” kata anak bongsu daripada enam beradik ini.

Menurut anak kelahiran Selangor ini lagi, dia tidak mempunyai kemahiran menggubah bunga dan coklat tetapi dia sanggup belajar ‘melembutkan’ tangan daripada seorang rakannya berbangsa Cina selama enam bulan.

“Rakan saya bernama Achen, pemilik kedai bunga dan dia insan yang sabar mengajar saya sampai mahir secara percuma.

“Saya belajar banyak kali tetap tidak menjadi. Saya tidak mudah berputus asa dan belajar daripada kesilapan. Kini, saya bukan saja boleh menggubah bunga bahkan alat solek mengikut permintaan pelanggan,” katanya.

Mohd Amirul menerima tempahan sehari sebelum penghantaran dengan caj serendah RM100 dan ke atas mengikut permintaan pelanggan. Bagi pakej RM100, pelanggan akan menerima tiga kuntum bunga ros, coklat dan tiga belon helium.

Berkongsi pengalaman manis sebagai penghantar hadiah, Mohd Amirul berkata dia tidak mungkin melupakan saat dia disorak pengguna jalan raya ketika menaiki motosikal untuk menghantar hadiah kepada pelanggannya.

“Saya disorak pengguna jalan raya kerana membawa sebuah patung beruang bersaiz besar yang diikat di tempat duduk belakang. Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, beberapa pengguna jalan raya mahu mengambil gambar bersama dan saya mengambil peluang itu memberi kad perniagaan kepada mereka.

“Walaupun rasa sedikit malu, saya buang perasaan itu jauh-jauh kerana ia dapat membantu menghebahkan perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya.

Selama setahun menjalankan perkhidmatan itu, Mohd Amirul muncul dengan idea baru dan menarik iaitu menyediakan perkhidmatan penghantaran hadiah ke Pulau Ketam menggunakan bot nelayan.

“Saya tidak sangka menerima tempahan menggalakkan daripada penduduk Pulau Ketam selepas mengedarkan risalah awal Januari lalu. Sepatutnya saya boleh menaiki feri tetapi menggunakan bot nelayan untuk tampak berbeza sekali gus membantu meningkatkan pendapatan nelayan.

“Dulu pendapatan saya sukar mencecah RM600 sebulan tetapi berkat kesabaran berterusan saya boleh meraih lebih RM3,000 sebulan. Oleh itu, saya bercadang membuka sebuah galeri yang menempatkan barang untuk majlis kejutan dan mahu menganjurkan kelas untuk remaja yang masih mencari peluang pekerjaan dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 5:04 AM