Penjenayah warga Malaysia (dua, kiri) yang ditahan kerana merompak kedai emas di Hatyai pada 6 Januari lalu. - Foto Bernama
Penjenayah warga Malaysia (dua, kiri) yang ditahan kerana merompak kedai emas di Hatyai pada 6 Januari lalu. - Foto Bernama
BERNAMA

Hatyai: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan awal terhadap seorang lelaki warganegara Malaysia yang mengaku dirinya ketua 'Geng 04', selepas dia ditahan kerana dipercayai merompak kedai emas di sini, pada 6 Januari lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Polis Hatyai Kolonel Surapong Kittitirankul berkata, siasatan awal polis Malaysia mendapati lelaki berusia 53 tahun itu menggunakan nama Yee Boon Long yang dipercayai nama palsu.

"Siasatan awal polis Malaysia mendapati nama itu (Ye Boon Long) tiada dalam rekod, berkemungkinan ia nama palsu. Polis Malaysia juga sudah mengambil cap jari suspek," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya lelaki itu akan didakwa di mahkamah bagi kesalahan merompak kedai emas di Jalan Montree, Hatyai, pada 6 Januari lalu, dan membunuh dua rakyat Thailand di Songkla, tiga tahun lalu.

Dalam kejadian 6 Januari itu, suspek yang bersenjatakan pistol merompak kedai emas itu dan melarikan barangan kemas seberat 1.7 kilogram bernilai 2.3 juta baht (kira-kira RM290,000).

Surapong berkata lelaki itu kini ditahan di Penjara Songkla selepas dipindahkan dari Penjara Balai Polis Hatyai.

Beliau berkata, suspek mengaku kepada Polis Thai bahawa dia terbabit dengan sekurang-kurangnya 10 rompakan dan bunuh di Malaysia dan Thailand.

Suspek mendakwa selepas merompak kedai emas di Butterworth, Pulau Pinang, dia melarikan diri ke Chiangmai menggunakan identiti palsu yang dibelinya dengan harga 250,000 baht (RM32,000).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 8:11 PM