LUKISAN Mohamad Syafiq memenangi kategori IPT.
LUKISAN Mohamad Syafiq memenangi kategori IPT.
TIGA lukisan terbaik yang memenangi setiap kategori dipertandingkan.
TIGA lukisan terbaik yang memenangi setiap kategori dipertandingkan.
BARISAN juri meneliti penyertaan yang disenarai pendek.
BARISAN juri meneliti penyertaan yang disenarai pendek.
(BERDIRI dari kiri) Amran. Hasimah, Angeline dan Norddin (tiga dari kanan) bersama pemenang
(BERDIRI dari kiri) Amran. Hasimah, Angeline dan Norddin (tiga dari kanan) bersama pemenang
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Anda mungkin pernah melihat ada rakan yang tidak boleh duduk diam dan sering menconteng kertas ketika mesyuarat atau mendengar sesuatu taklimat.

Ia bukan berkaitan dengan mengisi waktu bosan semata-mata kerana contengan berkenaan sebenarnya mempunyai maksud tertentu yang difahami individu itu sendiri.

Secara amnya, menconteng atau 'doodle' adalah sejenis lukisan spontan yang mempunyai pelbagai corak dan bentuk.

Sesetengah orang menconteng dengan menyurih balik perkataan atau huruf dan ada segelintir pula gemar melukis imej objek, landskap serta wajah manusia.

Ia adalah satu aktiviti yang boleh dilakukan semua orang di mana-mana saja kerana tidak memerlukan perkakasan khas selain kertas, pen atau pensel saja.

Aktiviti penuh berseni itu bukan sesuatu yang asing bagi masyarakat di Barat terutama golongan muda atau remaja.

Namun, di negara ini masih ramai yang menganggap aktiviti menconteng sesuatu atau 'doodling' sebagai sesuatu yang membuang masa dan tidak mempunyai faedah.

Tapi tahukah anda bahawa kajian pakar psikologi mendapati coretan itu sebenarnya mampu membantu seseorang itu untuk lebih fokus dan mudah memahami sesuatu konsep yang baru.

Ia juga memberi manfaat kepada minda kerana dapat membantu menguatkan ingatan dalam mengingat sesuatu maklumat.

Selain itu, coretan juga boleh menjadi medium untuk seseorang itu meluahkan sesuatu yang terbuku di hati tanpa perlu mengungkapkan kata-kata.

Pada masa yang sama, ia juga dapat membantu melahirkan idea, buah fikiran dan menyerlahkan emosi seseorang.

Semua kelebihan yang ada pada karya artistik itu turut mendorong rangkaian penjagaan diri antibakteria Antabax untuk menganjurkan Pertandingan Doodle Kebersihan Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 1 September hingga 19 Oktober lalu.

Pertandingan menarik yang julung kali diadakan itu turut mendapat sokongan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengurus Produk Kumpulan, Isi rumah dan Penjagaan Diri, Bahagian Pemasaran Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd, Angeline Sim berkata, pertandingan itu diilhamkan daripada sesi 'perah otak' pihaknya sebelum ini yang membabitkan banyak lakaran.

"Ketika sedang merancang program yang seterusnya, kami menyedari beberapa kakitangan sedang menconteng sesuatu ketika mesyuarat.

"Tertarik dengan aktiviti itu, kami segera mengkaji dengan lebih lanjut mengenai aktiviti 'doodle' sebelum mendapati ia sebenarnya ada kaitan dengan kesihatan dan kebersihan terutama kebersihan tangan.

"Dari situlah idea pertandingan 'doodle' ini tercetus dan kami bertuah kerana turut mendapat sokongan dua kementerian berkenaan untuk direalisasikan," katanya.

Menurut Angeline lagi, pihaknya teruja dengan sambutan yang diterima iaitu lebih 2,000 penyertaan daripada pelajar dari seluruh negara.

Katanya, mereka bersaing dalam tiga kategori yang disediakan iaitu sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM22,500.

"Kami sukar memilih pemenang kerana kebanyakan karya yang dihantar begitu kreatif dan menarik.

"Ternyata, golongan muda hari ini memiliki bakat yang besar dan pertandingan ini adalah medium untuk mereka bersaing secara sihat," katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di Balai Seni Visual Negara, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Norddin Daud, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kokurikulum (Unit Badan Beruniform, Persatuan/Kelab & pendidikan Luar), Kementerian Pendidikan Malaysia, Mohamad Amran Kamsi dan Kurator Balai Seni Visual Negara, Hasimah Nyok.

Pada majlis berkenaan, Louis Fong Jin, 12, dari Help International School dipilih memenangi kategori sekolah rendah manakala pelajar tingkatan lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam, Selangor, Siti Balkis Mahd Salled Masari, 17, mengungguli kategori sekolah menengah.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Bandaraya Melaka, Mohammad Nur Syafiq Azhar, 22, pula memenangi kategori IPT.

Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta hamper barangan jenama berkenaan.

Pada majlis sama, Sekolah Kebangsaan Assunta Satu, Petaling Jaya turut menerima hadiah wang tunai RM3,000 apabila muncul sekolah penyertaan terbanyak dengan menghantar lebih 399 penyertaan.

Mohammad Nur Syafiq ketika ditemui mengakui aktiviti menconteng memang menjadi kegemarannya sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Katanya, dia menconteng hampir sepanjang masa termasuk ketika mendengar kuliah dan aktiviti berkenaan banyak membantunya dalam mengingati sesuatu.

"Saya menghantar penyertaan secara suka-suka dan tidak sangka, ia membuahkan hasil yang cukup menggembirakan. Apapun, saya bersyukur dengan rezeki yang tidak diduga ini," katanya.

Menurut Siti Balkis pula, dia berterima kasih kerana guru di sekolahnya turut membantu dalam melakukan persiapan termasuk menyediakan panduan berguna untuk pertandingan berkenaan.

Katanya, dia gemar melukis dan coretan serta contengan itu adalah aktiviti harian yang biasa dilakukan jika mempunyai kelapangan.

"Saya memang meminati bidang seni dan berharap dapat menyambung pengajian dalam bidang seni reka bentuk selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

"Kejayaan ini saya anggap sebagai pembakar semangat untuk meneruskan cita-cita berkenaan," katanya.

Sementara itu, Norddin berkata, pertandingan berkenaan adalah pendekatan inovatif dalam usaha memupuk tabiat menjaga kebersihan tangan yang baik dalam kalangan pelajar.

Katanya, kajian mendapati 80 peratus daripada penyakit berjangkit lazim tersebar menerusi tangan dan disebabkan itu, adalah wajar untuk masyarakat memupuk amalan menjaga kebersihan tangan sejak awal lagi.

"Walaupun ia nampak seperti hanya untuk seronok, tetapi pertandingan ini dapat membantu mendidik dan menyedarkan golongan muda mengenai tabiat menjaga kebersihan tangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 5:04 AM