Antara kumpulan nelayan tempatan yang turut menyertai operasi mencari mangsa lemas di kawasan perairan Besut. Foto Ihsan Bomba
Antara kumpulan nelayan tempatan yang turut menyertai operasi mencari mangsa lemas di kawasan perairan Besut. Foto Ihsan Bomba
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Pusat operasi mencari dan menyelamat seorang murid yang hilang ketika mandi di Pantai Bukit Keluang, Besut sejak Sabtu lalu ditutup pada 7 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, berdasarkan pergerakan arus berkemungkinan mangsa sudah dihanyutkan ke perairan Kelantan atau Selatan Thailand.

Bagaimanapun, menurutnya, rondaan di sepanjang pesisir pantai akan dilakukan secara berkala sehingga ke sempadan Malaysia/ Thai dengan bantuan polis dan anggota BBP Pengkalan Kubur, Tumpat.

"Pencarian mangsa di laut juga akan diteruskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) termasuk dengan bantuan nelayan yang keluar ke laut. Kami juga ada menyediakan sebuah bot yang akan membuat rondaan di kawasan perairan berhampiran pantai," katanya.

Mohammad Izzat Haikal Alias, 12, dari Kampung Raja, dipercayai lemas selepas mandi bersama enam rakannya dalam kejadian pada 2.30 petang Sabtu lalu manakala mayat rakannya, Nik Mohd Haikal Fitri Nik Samsuddin, 13, yang turut lemas ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi mereka mandi 8.20 pagi pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 12:57 AM