Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Wanita mengalami pelbagai jenis sakit puan sepanjang hayat mereka. Ia bermula dengan kitaran haid pertama, diikuti peringkat reproduktif serta kehamilan dan akhirnya putus haid (menopaus).

Antara semua peringkat itu, peringkat reproduktif dan kehamilan adalah paling penting. Ini kerana kerumitan yang berlaku ketika hamil serta kelahiran anak adalah punca utama kematian dan kehilangan upaya dalam kalangan wanita yang berada di usia reproduktif di negara sedang membangun.

Antara komplikasi yang biasa dikaitkan dengan kehamilan ialah kekurangan darah (anemia) akibat kekurangan zat besi (iron deficiency anemia, IDA) dan keguguran terancam serta keguguran secara amalan.

Oleh sebab masalah ini semakin kerap berlaku dalam kalangan wanita hamil, menjadi sangat penting supaya perhatian ditumpukan kepada penjagaan kesihatan daripada pakar penjagaan kesihatan atau mengelak masalah kesihatan untuk ibu dan anak yang lebih rumit.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Kiren Sidhu berkata, keadaan anemia berlaku apabila darah kekurangan sel darah merah yang sihat.

"Dalam IDA, badan tidak mempunyai zat besi mencukupi untuk menghasilkan hemoglobin iaitu bahagian sel darah merah yang membolehkan oksigen disampaikan ke seluruh badan.

"Keadaan IDA yang teruk dan tidak dirawat ketika kehamilan boleh mengakibatkan masalah lain seperti kelahiran bayi pramatang atau kekurangan berat badan, kemurungan selepas bersalin dan kerencatan perkembangan seseorang kanak-kanak atau kerencatan ketika dilahirkan,"katanya kepada media dalam taklimat Meningkatkan Kesedaran Komplikasi Berkaitan Kehamilan Bagi Membantu Wanita Mencapai Kesihatan Lebih Baik, baru-baru ini.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohd Hashim Omar pula berkata, antara simptom utama IDA ialah mudah letih, pening kepala, pucat, tidak fokus, susah bernafas dan cepat marah.

"Pendarahan pada bahagian faraj adalah ciri-ciri keguguran terancam. Ia menjadi petunjuk kehamilan mungkin berakhir sebelum trimester pertama, manakala keguguran berulang merujuk kepada tiga atau lebih keguguran secara berturut-turut pada trimester pertama dengan bapa kandung sama.

"Antara risiko meningkatkan keguguran adalah wanita berusia 35 tahun ke atas berisiko mendapat keguguran berbanding wanita lebih muda. Pada usia berkenaan, seseorang wanita mempunyai kira-kira 20 peratus peluang mengalami keguguran.

"Manakala wanita pada usia 40 tahun pula mempunyai kira-kira 40 peratus mendapat keguguran dan meningkat kepada 80 peratus apabila berusia 45 tahun.

Selain itu, alkohol dan rokok meningkatkan risiko keguguran," katanya.

Berdasarkan kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Universiti United Nation, anemia memberi kesan kepada sebahagian wanita hamil di seluruh dunia. Selain itu, 52 peratus adalah di negara membangun berbanding 23 peratus di negara maju.

Simptom keguguran termasuk pendarahan pada faraj, sakit atau kejang pada bahagian abdomen serta keluar cecair dari faraj. Bagaimanapun, kebanyakan wanita yang mengalami pendarahan pada trimester pertama berjaya hamil, namun masih perlu menitikberatkan kesihatan apabila mengalami simptom itu ketika hamil.

Penjagaan pranatal serta pendidikan awal komprehensif adalah penting bagi menangani isu serta membantu mencegah masalah berkaitan kehamilan seperti ini.

Terapi hormon oral seperti dridogesteron yang meniru kesan hormon progesteron membantu mengawal perkembangan dan peluruhan endometrium yang sihat. Wanita juga disyorkan mengambil makanan tambahan zat besi untuk mencegah IDA di samping memperbaiki penjagaan pranatal.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, kematian seseorang ibu merujuk kepada kematian seorang wanita hamil atau dalam 42 hari dari akhir kehamilannya. Ia boleh berpunca daripada faktor berkaitan kehamilan atau pengurusannya tanpa mengira tempoh kehamilan atau tempat implantasi embrio.

Nisbah kematian ibu (MMR) merujuk kepada nisbah bilangan kematian dalam satu tempoh bagi setiap 100,000 kelahiran bayi hidup dalam tempoh sama. PBB mencatat bahawa MMR menurun 45 peratus antara 1990 dan 2013 di seluruh dunia.

Bermula daripada 380 kematian kepada 210 kematian dalam setiap 100,000 kelahiran bayi hidup MMR di rantau yang sedang membangun adalah 14 kali lebih tinggi daripada rantau maju.

Malaysia berusaha secara progresif ke arah mencapai matlamat menambahbaik kesihatan ibu, selaras dengan Matlamat Pembangunan Millenium (MDG). Data awal pada 2009 menunjukkan MMR di negara ini berada pada tahap 28 bagi setiap 100,000 kelahiran bayi hidup iaitu satu penurunan daripada 44 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1991.

Sasaran pada pada 2015 ialah mengurangkan MMR kepada 11 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:04 AM