SEORANG kakitangan UPM memberi penerangan kepada peserta.
SEORANG kakitangan UPM memberi penerangan kepada peserta.
KECERIAAN jelas terbayang pada wajah kanak - kanak yang menyertai program.
KECERIAAN jelas terbayang pada wajah kanak - kanak yang menyertai program.
Syazana Muhammad

Unit Organik, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Pendidikan Organik Kanak-Kanak Untuk Makanan Sihat bagi memberi pendedahan awal kepada generasi muda berkenaan kepentingan aktiviti pertanian secara mesra alam, baru - baru ini.

Ketua program, Dr Martini Mohammad Yusoff berkata, kanak-kanak diberi pendedahan untuk menyediakan bahan tanaman secara organik termasuk kompos, tuaian dan pengendalian hasil tanaman untuk pemakanan sihat.

Katanya, penanaman organik termasuk kaedah penjagaan kawasan penanaman organik yang 100 peratus tidak menggunakan baja dan racun kimia untuk pengawalan serangga perosak.

“Menerusi program ini, kami mendidik generasi muda mengenali cara betul untuk menghasilkan tanaman sihat.

“Pada masa sama, mendedahkan mereka kepada kepentingan pemilihan makanan sesuai di samping pengalaman seronok menikmati alam hijau tanpa pencemaran dan belajar cara penanaman mudah,” katanya.

Pelajar mobiliti dari China Yantzen University, Chen Mengyuan, 19, berkata, ini pengalaman pertama beliau mengikuti program seumpama itu yang memberi ilmu baru kepadanya.

“Aktiviti ini memberi pengalaman dan pengetahuan baru kepada saya.

“Ini juga membuka peluang untuk saya mempelajari penanaman organik sekali gus memanfaatkannya,” katanya.

Program satu hari itu yang kali kedua dianjurkan bukan saja mendapat sambutan daripada kanak - kanak malah ibu bapa turut memberi galakan.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuk penyediaan tanah, penanaman sayur dan lawatan ke tapak penyediaan kompos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 1:16 PM