Fuad Hadinata Yaacob


Klang: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menubuhkan pasukan siasatan dalaman khas bagi menyiasat insiden letupan bunga api pada sambutan ambang tahun baru 2017 di Kompleks Sukan Pandamaran, tengah malam tadi.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya juga akan menanggung semua kos rawatan mangsa termasuk membuat pemantauan susulan terhadap mereka.

Beliau berkata, pihaknya meminta maaf di atas kejadian di luar jangkaan itu dan akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden itu.

"Letupan di luar jangkaan ini menyebabkan 14 pengunjung iaitu 10 dewasa dan empat kanak-kanak cedera dan mereka dirawat sebagai pesakit luar dan sudah dibenarkan pulang.

"MPK memohon maaf kepada mangsa dan pengunjung dalam kejadian tengah malam tadi," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, orang ramai bertempiaran lari selepas bunga api yang digunakan untuk pertunjukan itu meletup terlebih dulu sebelum sempat ke udara.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan dan dibenarkan keluar selepas itu.

Mengulas lanjut, Mohamad Yasid berkata, langkah keselamatan sudah diambil termasuk membabitkan pihak berkuasa seperti polis, bomba dan hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 2:05 PM